Mohammad Fahmi Ngah.

KUALA LUMPUR – Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli tidak wajar dilihat sebagai tanda perpecahan sebaliknya mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Exco Kerajaan Selangor merangkap calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Dr Fahmi Ngah berkata, pertandingan itu membuktikan PKR bukan sahaja subur dengan bakat kepimpinan malah membuka ruang yang luas kepada demokrasi sihat dan progresif.

“Ini bukan pertembungan, ini adalah ruang demokrasi yang dibina oleh Anwar sendiri. Ia bukan sahaja menunjukkan kekuatan struktur parti tetapi juga keyakinan terhadap generasi baharu untuk tampil menggalas kepimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fahmi, baik Nurul Izzah mahupun Rafizi, kedua-duanya telah membuktikan nilai perjuangan mereka sejak awal reformasi dan terus setia dalam barisan walaupun selepas episod hitam Langkah Sheraton.

“Nurul Izzah merupakan suara wanita dan generasi baharu sejak awal. Rafizi pula berani tampil dengan pendekatan strategik dan idealisme dasar yang dekat dengan rakyat. Mereka ini bukan sekadar calon tetapi aset negara dan parti.

‘Pertandingan ini harus dilihat sebagai kekuatan dalaman yang memperkukuh saf parti bukan melemahkannya.

“Mereka tidak datang untuk berbalah tetapi untuk memberi. Inilah Keadilan (PKR) sebenar, parti yang tidak membungkam suara tetapi meraikan kepelbagaian pemikiran dan watak kepimpinan,” ujarnya.

Fahmi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anwar atas mandat baharu memimpin parti serta Kamil Abdul Munim yang dilantik sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) bagi sesi 2025–2028.

“Dengan kepimpinan Presiden dan AMK yang terus progresif, saya yakin Keadilan akan kekal relevan, dinamik dan bersedia membawa Malaysia ke tahap yang lebih inklusif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada pemilihan kali memohon sokongan semua pihak untuk terus bersama-sama memimpin perjuangan Keadilan bagi penggal ini.

“Dengan rendah hati saya mohon kepercayaan rakan-rakan agar dapat terus bersama memperkukuh perjuangan Keadilan. Kita tidak berpecah, kita sedang membina kekuatan untuk rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here