Onn Hafiz (tengah) dalam sesi Pembentangan PKHNJ 2030 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030 menyasarkan 500 syarikat halal berdaftar setiap tahun.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan itu akan menjadi platform untuk mempercepat proses pensijilan, menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.

“Dengan semakin banyak pelabur hadir di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelan ini bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang dan berinovasi di Johor.

“Pelan ini sedang diperlahusi dan akan dilancarkan tahun ini. Ia merupakan satu pelan penting yang akan meletakkan Johor sebagai negeri pertama mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal yang menyeluruh.

“Pelan ini digubal bagi memperkasa ekosistem halal di Johor secara menyeluruh, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menghasilkan produk halal bertaraf global, hingga membina rangkaian keusahawanan tempatan yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri bersama-sama PIJ Holdings, PIJ Halal Ventures, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan terus memperkukuh kerjasama.

Ia bagi menyokong syarikat-syarikat yang telah berjaya agar dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi melalui sokongan pelaburan dan pengembangan pasaran.

“Insya-Allah, melalui pelaksanaan berfasa dan pemantauan yang teliti, pelan ini akan memberi impak langsung kepada Johor dengan memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi halal.

“Seterusnya menjadikan negeri ini sebagai contoh pembangunan ekonomi Islamik yang progresif di Malaysia,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here