KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menggesa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya mengambil cuti daripada tugas Kabinet sekiranya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap tanggungjawabnya, berikutan kesibukan dalam pemilihan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dominnic berkata, Rafizi dilihat lebih sibuk mengejar jawatan politik dalam PKR berbanding memberi tumpuan kepada isu-isu ekonomi rakyat, yang sepatutnya menjadi keutamaan kementeriannya.
“Negara ini berpaksikan rakyat dan kerajaan wujud demi rakyat. Maka, tugas sebagai menteri tidak seharusnya diabai semata-mata demi merebut jawatan dalam parti.
“Sejak dilantik, tiada pencapaian ketara yang boleh dibanggakan oleh beliau. Sama ada Rafizi ada atau tidak, rakyat tidak nampak sebarang kesan positif yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenalkan Rafizi, selain mendakwa menteri itu sering membuat pengumuman berkaitan pembatalan bantuan tanpa penjelasan jelas kepada rakyat.
“Ketika isu cukai balas Amerika Syarikat berlaku, Rafizi langsung tidak menonjol.
“Yang aktif menangani isu itu adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul,” tambahnya.
Selain itu, kelewatan Rafizi dalam mendefinisikan kumpulan T15 turut membuktikan kelemahan prestasi kementerian yang diterajuinya.
“Rafizi janji nak umum definisi T15 dalam sebulan pada Oktober tahun lalu. Kemudian dia kata pada sesi pertama Parlimen 2025. Tapi sekarang dah pertengahan Mei, masih tiada pengumuman.
“Sistem PADU pula telah dilancarkan pada Januari 2024. Sudah lebih 17 bulan, tetapi asas penting seperti definisi T15 pun belum ada.
“Jika kerajaan benar-benar tidak tahu menentukan siapa dalam kelompok ini, maka segala bentuk penarikan subsidi wajar ditangguhkan dahulu,” tegasnya.
Dominic menambah bahawa Rafizi yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai tokoh reformasi kini kelihatan ‘hilang arah’ selepas dilantik sebagai menteri.
“Beliau sama seperti Perdana Menteri, hebat bercakap, tetapi pelaksanaan gagal.
“Jika ada kesedaran diri, Rafizi patut serahkan jawatan kepada individu lebih berwibawa, bukan terus pegang jawatan tetapi gagal menunaikan amanah rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette