angkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki terlibat pergaduhan dengan seorang pemandu lori di Ulu Tiram, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja antara dua lelaki yang ditahan selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang pemandu lori di Ulu Tiram di sini semalam

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 44 saat itu yang tular semalam memaparkan insiden buli jalanan sebelum mengambil tindakan susulan.

“Polis berjaya menahan dua suspek tempatan berusia 18 dan 21 tahun di sekitar kawasan Ulu Tiram kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

“Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin dan ia dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara kedua-dua pihak yang mana pemandu lori dikatakan menukar haluan secara tiba-tiba serta lewat memberi lampu isyarat.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau. Polis turut merampas sebatang kayu cota yang digunakan ketika mengugut mangsa dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana kesalahan menggunakan kemudahan akses elektronik.

Mohd Sohaimi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Izzat Syafiq di talian 014-924 27274 atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di 07-387 1422 atau 07-386 1422.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here