Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN Mei 2025 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 MEI 2025

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyanggah kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa kekalahan Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR nanti akan memberi gambaran buruk kepada parti itu atau menandakan penolakan presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menegaskan, perebutan jawatan itu hanya antara penyandang dan pencabar, Nurul Izzah.

“Saya tak melihat terpilih Nurul Izzah (sebagai Timbalan Presiden PKR) maksudnya sokongan pada Anwar.

“Penolakan Nurul Izzah makanya penolakan kepada Anwar, saya tak lihat begitu. Ini adalah pertarungan antara Rafizi dengan Nurul Izzah,” tegasnya pada sidang media selepas menghadiri Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Seri Perkasa, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi semalam yang menggesa perwakilan memilih Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu.

Kata Rafizi, kekalahan Nurul Izzah akan memberi mesej negatif kepada rakyat, seolah-olah anggota parti sendiri menolak Anwar sebagai presiden.

“Kalau Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat? Mesejnya ialah anggota parti sendiri telah menolak Anwar. Sebab itu Izzah mesti menang.

“Kalau kalah, kita akan masuk pilihan raya umum dalam keadaan tak boleh berdepan dengan pembangkang, serta polemik politik yang akan ada di dalam dan luar kerajaan.

“Undilah Nurul Izzah, sebab tak boleh ada keputusan yang lain. Macam mana pun pilihan peribadi, tak boleh ada keputusan berlainan, kalau Izzah tak menang, (bermaksud) Anwar ditolak,” katanya ketika berucap dalam siri Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di Kedah.

Saifuddin berkata, PKR wujud disebabkan Anwar,  merujuk kepada penahanannya pada September 1998, diikuti dengan gerakan Reformasi.

Tambah beliau, pertembungan antara Nurul Izzah dan Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR perlu dilihat sebagai saingan terbuka, tanpa membabitkan kedudukan Anwar.

Rafizi dan Nurul Izzah berentap dalam pertembungan satu lawan satu bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Pada pemilihan 2022, Rafizi berjaya memenangi jawatan tersebut manakala Nurul Izzah ketika itu tidak bertanding dan kemudiannya dilantik sebagai Naib Presiden PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here