Isteri kepada Koperal Nurit Pandak, Jowissemborisis Bah Johan, tidak dapat menahan sebak ketika berada di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025.

TELUK INTAN – Baru setahun lebih kehilangan anak, kini suami pula pergi buat selama-lamanya.

Itulah yang dirasai isteri kepada salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi tadi.

Jowissemborisis Bah Johan, 36, berkata, suaminya, Koperal Nurit Pandak, 34, telah berkhidmat sebagai anggota FRU lebih 10 tahun.

Menurutnya, dia dan suami telah berumah tangga sejak empat tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan pada tahun 2021 namun meninggal dunia akibat masalah jantung yang serius.

“Sebelum ini suami bertugas di FRU Cheras, Kuala Lumpur dan berpindah ke FRU Sungai Senam pada 2021 memandangkan anak perempuan kami mempunyai komplikasi jantung.

“Anak perempuan meninggal pada Februari tahun lalu ketika berusia dua tahun dua bulan, kini suami pula menyusul,“ katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, di sini.

Katanya, mereka tinggal di Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar dan suaminya sering berulang alik untuk bertugas di Sungai Senam.

Dalam perkembangan sama, Pandak Rompan, 71, bapa kepada Nurit reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima adik beradik itu.

“Anak saya pergaulan bagus tiada apa-apa masalah dengan saya, emaknya dan keluarga. Dia sentiasa mesra dengan keluarga sampai meninggal.

“Rasa terkejut dengan kejadian mati mengejut macam ini, tapi kita reda,” katanya yang juga seorang pesara polis.

Menurutnya, selain mendiang Nurit, dua anaknya turut mengikut jejaknya menyertai badan beruniform polis dan anggota tentera.

Katanya, mendiang Nurit dijangka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Batu Berangkai, Kampar. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

Lapan anggota FRU maut dalam kemalangan di Teluk Intan

Nahas FRU: Pemandu lori muatan batu ada enam rekod lampau termasuk narkotik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here