PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan menerima semula 50 peratus daripada jumlah kutipan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya secara berterusan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dana hasil kutipan saman itu akan digunakan untuk mempertingkatkan aspek keselamatan infrastruktur seperti pemasangan lampu jalan Cahaya Diod Pemancar Cahaya (LED) di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot kemalangan.
Antara kawasan terawal yang akan menerima manfaat inisiatif itu ialah sepanjang laluan dari Senawang ke Ayer Keroh, Melaka yang dikenal pasti mempunyai tiga lokasi kerap berlaku kemalangan terutamanya pada waktu malam.
“Pemasangan lampu jalan di kawasan gelap mampu mengurangkan risiko kemalangan maut dan fasa pertama pelaksanaan akan difokuskan kepada laluan Senawang-Ayer Keroh.
“Ini adalah susulan tragedi tahun lalu yang melibatkan kemalangan antara bas dan lori hingga meragut tujuh nyawa di kawasan tidak bercahaya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai keselamatan dan kesesakan jalan raya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anthony turut menyentuh kemalangan yang berlaku dua hari lalu melibatkan seekor gajah yang dirempuh sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dua hari lalu.
Kejadian itu bukan sahaja menyedihkan malah mengundang reaksi besar daripada masyarakat.
Oleh itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi mengenal pasti langkah keselamatan tambahan termasuk pencahayaan dan pembinaan laluan khas untuk haiwan liar.
“Kita mahu lindungi nyawa manusia dan dalam masa sama, kita juga bertanggungjawab melindungi kehidupan liar. Kami sedang pertimbang pembinaan terowong lintasan haiwan atau wildlife crossing bagi mengelak tragedi seperti itu berulang,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum ini tiada sebarang peruntukan khusus diberikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan inisiatif keselamatan tambahan seperti itu.
Namun keputusan Jawatankuasa Kabinet hari ini, pihaknya akhirnya akan mempunyai sumber pendanaan lebih stabil dan berterusan untuk melaksanakan langkah mitigasi secara proaktif.
Beliau turut menyatakan projek-projek besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah dilengkapi dengan terowong khas dan laluan lintasan untuk haiwan liar di bawah landasan.
Kini langkah sama sedang dirancang untuk laluan Gemas–Johor Bahru yang sebelum ini pernah menyaksikan insiden gajah melintasi landasan dan menyebabkan kemalangan.
Bagaimanapun, mekanisme pendanaan itu masih perlu dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
“Kita telah membuat keputusan hari ini dan akan angkat syor itu ke mesyuarat Kabinet minggu hadapan. Saya percaya dengan kelulusan rasmi nanti, kementerian akan dapat melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan baharu yang lebih menyeluruh demi melindungi pengguna jalan raya dan alam sekitar,” ujarnya. – MalaysiaGazette