Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat menunjukkan sebahagian arak yang dirampas dalam serbuan, pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Memperoleh arak tidak bercukai dari kawasan bebas cukai di Forest City, Iskandar Puteri untuk dijual kepada kedai runcit dan kenalan sekitar daerah ini.

Kemudian mengedar arak tersebut menggunakan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan menjualnya kepada pelanggan tetap dengan keuntungan sekali lipat ganda.

Itu modus operandi dilakukan seorang peniaga yang melakukan aktiviti penyimpanan, pengedaran dan penjualan minimum keras sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kegiatan lelaki itu berjaya dikesan sebelum satu serbuan dilakukan di stor penyimpanan di Taman Mount Austin di sini Rabu lalu.

Menurutnya, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman melakukan serbuan pukul pukul 10.30 pagi.

“Operasi ini hasil maklumat awam yang diterima berkaitan aktiviti penyimpanan dan pengedaran arak tidak bercukai di lokasi berkenaan.

“Hasil serbuan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun yang bekerja sebagai peniaga,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan dalam rumah dan dua kenderaan jenis MPV tersebut menemui sejumlah besar minuman keras disyaki tidak bercukai kastam.

Jelasnya, kedua-dua MPV itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 185 katon dengan 27 jenis pelbagai jenis arak dalam tin dan botol yang disembunyikan dalam stor tersebut serta MPV berkenaan dianggarkan bernilai RM316,595.87.

Turut dirampas dua MPV mewah itu iaitu jenis

Toyota Estima dan Toyota Vellfire yang digunakan untuk menyembunyikan dan mengangkut arak manakala nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM195,000.

“Kedua-dua kenderaan ini yang disewa dan milik sendiri disyaki digunakan untuk tujuan pengedaran dan penyamaran. Jumlah rampasan arak dan dua kenderaan tersebut bernilai RM511,595,” ujarnya.

Raub berkata, kegiatan itu telah beroperasi lebih setahun lalu dan siasatan mendapati arak berkenaan diperoleh dari kawasan bebas cukai di Forest City.

“Suspek dibenarkan ditahan reman selama 14 hari bermula 8 Mei hingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan. Sampel arak telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Jabatan Kastam untuk analisa dan penilaian,” ujarnya.

Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan tanpa kebenaran dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Pihak Polis Diraja Malaysia komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pemilikan barangan tidak bercukai yang boleh menjejaskan hasil negara dan keselamatan awam,” katanya.

Masyarakat katanya, digesa untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Johor Bahru Selatan 07-218 2323.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here