Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Apa yang disangka peluang pelaburan patuh syariah menjanjikan pulangan tinggi kini menjadi tragedi kewangan kepada lebih 230 individu dari seluruh negara selepas mendakwa diperdaya oleh skim pelaburan islamik.

MalaysiaGazette difahamkan semua mangsa kini menanggung kerugian dianggarkan mencecah RM80 juta melibatkan wang simpanan, dana pendidikan anak-anak dan juga wang persaraan yang dikumpul bertahun-tahun lamanya.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada ratusan pelabur yang mendakwa syarikat-syarikat terbabit dalam skim berkenaan telah gagal melunaskan janji pembayaran dividen seperti yang dijanjikan semasa promosi pelaburan dijalankan.

“Kebanyakan pelabur menyertai skim ini kerana tertarik dengan janji pulangan yang lumayan, kononnya berdasarkan sistem pelaburan Islamik.

“Lebih meyakinkan apabila ada individu ternama serta berpengaruh memegang jawatan dalam syarikat tersebut yang memberikan kepercayaan bahawa skim ini sah dan selamat,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.

Antara mangsa, terdapat mereka yang kerugian antara RM10,000 hingga RM250,000 jumlah besar yang kebanyakannya datang daripada wang persaraan, caruman KWSP, hasil jualan aset serta simpanan seumur hidup.

Lebih membimbangkan, kata Hishamuddin, ada keluarga yang kini terpaksa berhutang semula untuk menampung kehidupan harian selepas kehilangan wang pelaburan.

“Kes ini tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar penipuan kewangan, tetapi satu tragedi kemanusiaan. Mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma akibat ditipu dalam keadaan mereka yakin pelaburan ini sah dan dijamin pulangan,” katanya.

MHO juga memaklumkan, laporan rasmi telah dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti hari ini dan pihaknya berharap siasatan menyeluruh dijalankan terhadap individu serta syarikat yang terlibat.

Hishamuddin turut menggesa semua pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), SC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar berganding bahu mengambil tindakan segera demi melindungi kepentingan awam dan mengelakkan lebih ramai mangsa terjerumus dalam skim-skim penipuan serupa.

“Kami tidak mahu kes ini berakhir begitu sahaja. Mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan dan aset perlu disita serta dikembalikan kepada mangsa, walaupun sebahagian kecil,” tegasnya.

Dalam pada itu, MHO turut menyeru masyarakat agar lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi, lebih-lebih lagi apabila ia berselindung di sebalik nama Islamik, status syariah atau personaliti terkenal. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here