PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuka ‘pintu’ seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap pegawai di bawah kementeriannya.
Beliau yang mengulas isu penahanan beberapa individu termasuk dua pegawai Kementerian Dalam Negeri yang dikaitkan dengan kes rasuah permohonan taraf kewargaan, menambah, tidak akan mengambil pendekatan berdolak-dalik atau menafikan perkara tersebut.
“Saya di peringkat Menteri Dalam Negeri, (membenarkan) sama ada pegawai di pejabat KDN atau agensi (untuk disiasat SPRM.
“SPRM ada ‘25 jam’ sehari untuk masuk dan siasat. Mereka perlu lakukan tugas sesuai dengan tanggungjawab mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Seri Perkasa, hari ini.
Tambah Saifuddin, beliau tidak berhasrat untuk memberi sebarang komen lanjut dan hanya menyerahkan kes tersebut sepenuhnya kepada SPRM.
Sejak Mac lalu, SPRM melancarkan operasi khas dinamapak Op Outlander bertujuan untuk membanteras sindiket penjualan dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran yang didakwa dijual pada harga mencecah RM50,000 kononnya untuk memudahkan permohonan taraf warganegara.
Dalam operasi terbaru Khamis lalu, tiga individu termasuk dua yang dipercayai pegawai KDN telah ditahan.
Setakat ini, SPRM telah membekukan 11 akaun bank bernilai lebih RM100,000 dan menyita lebih 30 dokumen berkaitan.
Mereka yang ditahan sebelum ini terdiri daripada pelbagai ‘watak penting’ antaranya seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang peguam, serta beberapa ejen dan pemohon. – MalaysiaGazette