Peguam keluarga Pamela Ling Yueh, Sangeet Kaur Deo.

KUALA LUMPUR – Peguam hak asasi manusia, Sangeet Kaur Deo hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi penjelasan terbuka berhubung kehilangan Pamela Ling, yang kini sudah memasuki hari ke-33 tanpa sebarang petunjuk.

Sangeet yang mewakili keluarga Pamela mendakwa, kegagalan SPRM tampil memberi penerangan hanya memburukkan lagi persepsi awam terhadap integriti agensi tersebut terutamanya apabila Ketua Pesuruhjayanya baharu sahaja dilantik semula dalam keadaan penuh kontroversi.

“Sudah lebih sebulan Pamela hilang, namun sehingga kini tiada penjelasan kukuh daripada SPRM mengenai tindakan mereka sebelum dan selepas kehilangannya.

“Sejak awal lagi SPRM menyatakan Pamela hanya dipanggil untuk membantu siasatan namun kemudian, beliau dilabel pula sebagai ‘suspek’.

“Mana satu yang betul? Jika benar dia suspek sejak awal, kenapa perkara itu tidak dimaklumkan? Dan jika bukan, kenapa beliau diburu sebegitu rupa?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soal Sangeet, Pamela tidak pernah didakwa di mahkamah walaupun telah melalui sembilan sesi soal siasat, ditangkap, direman, dikenakan larangan perjalanan dan dipisahkan daripada tiga anaknya yang berada di Singapura.

Katanya, lebih mengejutkan, kenyataan rasmi SPRM yang menyenaraikan kronologi kejadian juga didakwa tidak menyebut fakta penting termasuk Pamela pernah ditahan, disoal berulang kali, dan dikenakan larangan perjalanan tanpa sebab yang jelas.

“Notis turut dikatakan disampaikan secara tidak sah melalui bapanya, manakala waran tangkap digunakan berkaitan satu kes yang sebenarnya telah diselesaikan beberapa bulan sebelumnya.

“Pamela juga terlibat dalam prosiding perceraian dan pertikaian harta berbilion ringgit di Singapura, termasuk saman terhadap bekas suaminya yang didakwa telah memindahkan saham syarikat miliknya secara penipuan dan memalsukan tandatangannya,” ujarnya.

Sangeet juga mempersoalkan kenapa urusan peribadi ini menjadi sasaran siasatan oleh SPRM.

“Semasa berada dalam perhatian SPRM, Pamela tidak dibenarkan ke luar negara dan terpisah daripada anak-anaknya. Peguamnya telah memohon agar larangan perjalanan ditarik balik, namun tidak menerima sebarang maklum balas. Beberapa hari kemudian, Pamela hilang tanpa jejak,” katanya.

Tambah beliau, keengganan SPRM untuk memberi sebarang komen atau menjawab soalan orang ramai semakin menimbulkan kecurigaan dan menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi itu.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah badan pencegahan rasuah yang berwibawa dan telus, bukan yang berdiam diri apabila kepercayaan umum sedang runtuh.

“Kita mohon satu siasatan bebas dan telus segera dijalankan terhadap peranan SPRM dalam kes ini.

“Siapa yang arahkan tindakan terhadap Pamela Ling? Kenapa dia ditekan dengan soalan berkaitan urusan peribadi yang tiada kaitan dengan kuasa SPRM? Kenapa tiada waran tangkap dikeluarkan selepas dia gagal melapor diri? Dan mengapa Ketua SPRM terus membisu?.

“Kita tidak boleh membiarkan ini menjadi satu lagi episod tragis yang disapu di bawah karpet. Rakyat belum melupakan Teoh Beng Hock, Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat. Adakah nama Pamela Ling akan ditambah dalam senarai itu?,” soalnya.

Pamela hilang pada 4 April lepas ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here