KUALA LUMPUR – Kegagalan stereng lori membawa muatan pasir dipercayai menjadi punca nahas yang mengorbankan lapan pegawai rendah polis (PRP) Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Lampam Simpang Tangki Air, Langkap, Perak, pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam nahas yang berlaku 8.51 pagi tadi, lori pasir berkenaan telah merempuh hadapan lori PSP Unit 5 ketika sampai di lokasi kejadian.
“Lori FRU Unit 5 yang membawa 18 orang PRP itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lapan PRP termasuk pemandu lori meninggal di tempat kejadian manakala enam cedera parah dan empat lagi cedera ringan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN