Mahkamah Muar.

MUAR – Seorang pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang diasuh isterinya dua tahun lalu diarahkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini membela diri.

Hakim Sayani Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan diketuai Othman Affan Ismail berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Asran Mohd Tahir, 42.

Sayani semasa membaca keputusan pada akhir pendakwaan memberitahu, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dan meneliti segala keterangan saksi pendakwaan serta eksibit dikemukakan.

“Ia juga mengambil kira keterangan bertulis daripada pihak pendakwaan dan juga pembelaan sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung.

“Pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat prima facie dalam kes mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dihukum bersama Seksyen 14 akta sama,” hujahnya.

Justeru, Sayani memberitahu mahkamah memberi tiga pilihan kepada tertuduh sama ada membuat akuan bersumpah dari kandang saksi, akuan tidak bersumpah atau memilih untuk berdiam diri.

Peguam, Syafie Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) kemudiannya memberitahu anak guamnya memilih untuk akuan bersumpah dari kandang saksi serta akan mengemukakan seorang saksi di peringkat pembelaan pada 16 Jun ini.

Tertuduh yang juga bapa dua anak didakwa amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ketika kejadian, di bawah jagaan isterinya berikutan ibu bapa mangsa bertugas di luar kawasan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Simpang Renggam, Kluang antara pukul 11 pagi hingga 6.45 petang, pada 19 September 2023.

Seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga dua puluh tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika ini, Asran menjalani tahanan sementara di Pusat Koreksional Muar selepas gagal melunaskan ikat jamin RM10,000 dikenakan terhadapnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here