KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga pegawai dua institusi perbankan di sini melibatkan pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan kerana disyaki terlibat pengubahan wang haram serta rasuah membabitkan permohonan pinjaman lebih RM21 juta.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek disyaki secara bersama telah memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar tahun 2024.
“Berdasarkan siasatan awal dijalankan, salah seorang suspek berjawatan ketua jabatan itu dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang telah membuat lima permohonan pinjaman keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta.
“Wang rasuah ini sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh syarikat berkenaan,” katanya.
Sumber berkata, susulan itu, ketiga-tiga suspek telah ditahan sekitar pukul 4 hingga 5 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Susulan tangkapan itu juga, SPRM turut membekukan empat akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM268,000 selain menyita tiga unit peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.
Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok pagi. – MalaysiaGazette