KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat kesepaduan dalam kerajaan khususnya berkaitan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum (PRU).
Exco Pemuda Amanah Nasional, Dr. Nash Nahar berkata, kenyataan Dr Akmal dilihat angkuh dan mementingkan agenda politik sendiri.
Ia terutamanya apabila Exco Negeri Melaka itu menegaskan Barisan Nasional (BN) harus bertanding di semua kerusi yang dimenangi mereka pada PRU lepas.
Menurut Nash, pendekatan sedemikian hanya akan merugikan UMNO sendiri terutamanya di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan yang kini bergantung kepada kerjasama erat dengan Pakatan Harapan (PH) untuk kembali bangkit.
“UMNO Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan perlu ‘sekolahkan’ Akmal agar lebih memahami semangat Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan beliau hanya membantutkan usaha untuk membina semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu di kawasan bandar dan semi-bandar.
“Kenyataan Dr. Akmal tidak wajar kerana boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti komponen. Ini bukan masa untuk tunjuk ego tetapi masa untuk bersatu demi kestabilan nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nash turut menyokong pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa isu pembahagian kerusi perlu diserahkan kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi PH dan BN secara bersama.
Katanya, keputusan tersebut perlu dibincangkan secara adil dan menyeluruh demi mencapai matlamat utama iaitu kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
“Dr Akmal perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi keinginan politik peribadi. Pemimpin muda seharusnya menjadi pengukuh kepada Kerajaan Perpaduan bukan pengganggu dalam usaha penyatuan,” tambahnya.
Sebelum ini, Dr. Akmal dilaporkan menegaskan BN harus mempertahankan semua kerusi yang dimenangi mereka pada PRU-15 termasuk kerusi yang turut dituntut oleh PH bagi menghadapi PRU akan datang.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada dalam kalangan penyokong Kerajaan Perpaduan yang menganggap ia bersifat provokatif dan tidak membantu usaha konsolidasi kuasa antara gabungan utama negara. – MalaysiaGazette