Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias menandatangani memorandum perjanjian dengan Ketua Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi di Pekan hari ini.

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan Program Penternakan Itik Penelur (KELIP) di sini hari ini.

Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, KELIP merupakan sebuah inisiatif strategik bertujuan memperkasa ekonomi golongan asnaf menerusi sektor penternakan yang berimpak tinggi dan lestari.

“Program KELIP merupakan projek rintis ternakan berkelompok yang menyasarkan seramai 25 peserta dalam kalangan golongan asnaf zakat, khususnya dari daerah Kuantan dan Pekan.

“Para peserta akan menerima bimbingan menyeluruh hasil kerjasama pihak Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman dengan sokongan UMPSA dari segi penyelidikan dan pemantauan teknikal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Dr. Yatimah, projek tersebut satu langkah menyeluruh meningkatkan taraf hidup peserta melalui penghasilan makanan itik yang lebih ekonomikal, latihan keusahawanan, pengurusan kewangan serta peningkatan pengeluaran telur ternakan kepada 80 peratus daripada populasi.

Mengulas lanjut, katanya, program itu merupakan kesinambungan kepada dua projek terdahulu  bersama Koperasi Komuniti Amanah Pahang Berhad (KOMTA) dan Koperasi Bersama Johor Berhad (KOBERSAMA) melalui dana penyelidikan UMPSA sejak 2024.

“Semoga kerjasama strategik bersama Public Islamic Bank Berhad yang telah meluluskan pembiayaan projek ini sebanyak RM220,000 serta khidmat nasihat dan sokongan pemerkasaan komuniti akan membawa kesan jangka panjang yang positif dan mampan,” katanya.

Tambahnya, Projek KELIP diketuai Ts. Mohd Najib Razali akan mengetuai pelaksanaan bersama pasukan penyelidik UMPSA yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar dalam bidang penternakan.

Dengan pelaksanaan terancang dan sokongan pelbagai pihak, beliau berharap projek menjadi model kejayaan untuk program pembangunan komuniti yang lain.

Kerjasama strategik antara UMPSA dan PIBB mencerminkan sinergi antara institusi akademik dan sektor perbankan Islam dalam mengangkat martabat ekonomi komuniti melalui inovasi sosial dan pemerkasaan ekonomi asnaf.

Majlis menandatangani MoA tersebut disempurnakan oleh Dr. Yatimah dan Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Encik Syamsul Azuan Ahmad Fauzi di UMPSA Pekan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here