Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menerima impak paling besar sekiranya puteri sulung beliau, Nurul Izzah Anwar kalah dalam pemilihan Timbalan Presiden parti tahun ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kekalahan Nurul Izzah hanya akan membawa mesej bahawa bapanya sudah ditolak parti sendiri.

“Apabila Nurul Izzah masuk gelanggang bertanding dengan saya, yang kena telan, yang kena pikul (beban dan impak) adalah Anwar Ibrahim.

“Sebab itu Izzah kena menang. Saya tidak dapat bayangkan (sekiranya beliau kalah), kita akan masuk pilihanraya dan berdepan dengan pembangkang dengan keputusan Anwar ditolak parti sendiri.

“Jadi apa pilihan yang ada? Maka, saya hendak tutup kempen saya begini, undilah Nurul Izzah saudara-saudari, sebab kita tiada keputusan yang lain walau apa pun pilihan peribadi kita, tetapi kita tidak boleh ada keputusan yang lain.

“Sebab itulah, jika ada umur panjang, bertemu dengan pemilihan parti lagi (pada masa akan datang), fikirlah panjang-panjang,” katanya semasa berceramah dalam Jelajah Hiruk Zon Utara, semalam.

Rafizi yang juga bertanding mempertahankan jawatannya menambah, pertembungan antara beliau dan Nurul Izzah tidak akan berlaku sekiranya tiada pihak yang masuk jarum.

Malah menurut beliau, Anwar sendiri sering menasihatkan Jawatankuasa Pemiliha Pusat (JPP) dan Biro Politik PKR supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

Rafizi yang menyifatkan PKR ketika ini sedang diuji dengan kuasa berkata, masalah dalaman parti tidak seharusnya timbul kerana parti berada dalam keadaan tenang tanpa ada sebarang isu besar sebelum ini.

Namun terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan beliau apabila banyak ketua cabang yang menyokong gagasan Ayuh Malaysia yang dibawanya menang pada pemilihan parti 2022.

“Jadi bila kita jadi kerajaan, maka wujudlah orang yang lebih sudu daripada kuah.

“Tiba-tiba kata kita kena tukar semua ini kerana kita perlu pastikan akar umbi 100 peratus bersama Presiden, sedangkan benda itu tidak timbul.

“Saudara-saudara, kalau saya Azmin Ali, tak ada lah aku di sini. Nak tikam (belakang presiden), nak buat apa? Nak jadi menteri? Aku dah bosan jadi menteri sebab tiap-tiap hari kena masuk pejabat,” ujarnya lagi.

Pada siri jelajah itu, Rafizi turut memberi contoh impak nepotisme dalam sejarah Cuba melibatkan Fidel Castro, adiknya Raul Castro dan Che Guevara. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Haaaa ..ayat sakit hati lah tu. Bosan jd menteri? Ko mmg tak layak jadi menteri. Rakyat sebenarnya lagi bosan dgn ko & formula2 bodoh kau..malah rakyat bosan dgn kau yg jd Menteri tapi tak perform pun…kau ni sebenarnya tak sesuai jadi menteri. Yg kau sesuai ialah kekal sbg pemfitnah, pembohong dan penghasut. Bab ni kau mmg jaguh laa..so demi parti, baik kau kembali kepada tugas kau yg asal iaitu menghasut, berbohong dan memfitnah…jgn lupa berguling atas jalan semula

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here