SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 68 Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Tikam Batu di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.25 malam itu, mangsa, Mohd Faiz Samsudin, 30, maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS bergerak dari arah Tikam Batu menghala ke Sungai Petani telah melanggar wayar lampu jalan yang melintangi jalan.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan dia terbabas di tengah jalan sebelum sebuah MPV jenis Perodua Alza dan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 56 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di tengah jalan.
“Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat oleh petugas Kementerian Kesihatan.
“Manakala pemandu Alza berusia 29 tahun dan pemandu sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dak kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette