PUTRAJAYA – Seramai 31 pelatih dari seluruh negara dilantik sebagai peserta Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) bagi sesi 2025 dalam satu majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, yang turut menyifatkan ADMY sebagai platform holistik melahirkan pendakwah masa hadapan bertaraf dunia.
“Tahun ini merupakan kali ketujuh program ADMY dilaksanakan. Setiap tahun, kita lakukan penambahbaikan.
“Kali ini, pendekatan yang diambil sangat menyeluruh dengan penggabungan pelbagai dimensi ilmu dan kemahiran agar para daie ini dapat menyumbang secara efektif kepada masyarakat, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis tersebut.
Menurutnya, para pelatih akan menjalani latihan intensif dari Mei hingga Julai menggunakan modul yang selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Latihan tersebut akan menekankan aspek keseimbangan antara ilmu tradisi dan kemahiran moden, termasuk kesedaran terhadap teknologi digital serta teknik dakwah kontemporari.
“Bukan sekadar menguasai ilmu asas agama, kita juga melengkapkan mereka dengan kemahiran baru seperti komunikasi digital, penulisan kreatif serta latihan menembak untuk membentuk ketahanan diri secara holistik.
“Apa yang menarik dalam sesi kali ini adalah penampilan pelajar dari latar belakang pondok turas turut diserap ke dalam program, memberikan kepelbagaian kepada latar akademik peserta.
“Ini juga selaras dengan pendekatan inklusif YADIM dalam melahirkan daie muda yang mampu berinteraksi dengan pelbagai segmen masyarakat dan membawa mesej dakwah dengan lebih hikmah dan berkesan,” tambahnya.
Zulkifli turut menzahirkan harapan agar semua pelatih ADMY 2025 akan terus istiqamah menyampaikan dakwah serta menjadi ejen perubahan positif kepada masyarakat.
“Kita harapkan mereka akan terus berkhidmat walau di mana sahaja mereka berada, sehingga ke akhir hayat,” ujarnya. – MalaysiaGazette