Perdana Menteri Anwar Ibrahim

“Kita perlu menunjukkan bahawa setiap masyarakat, setiap negara, sama ada kecil, kaya atau miskin, mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya,” kata Anwar semasa syarahan umum bertajuk “ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO).

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan menerima anugerah doktor kehormat daripada MGIMO atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.

“Apabila kita membicarakan tentang hubungan dua hala, ia bukan sahaja mengenai politik dan diplomasi tetapi juga termasuk perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.

“Negara-negara perlu memastikan asas ekonomi mereka kukuh tetapi nilai kemanusiaan tidak boleh diabaikan,” kata Perdana Menteri.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakyatnya atas penghormatan yang diberikan kepada Malaysia serta sambutan mesra terhadap delegasi Malaysia.

Anwar berkata pertemuan beliau dan Putin berlangsung dengan sangat baik meskipun latar belakang, budaya dan tamadun yang berbeza antara kedua-dua negara.

“Kami berada di sini atas jemputan beliau, sama seperti rakan sekerja saya, dan kami mengadakan perbincangan dengan pemimpin antarabangsa yang sangat penting, yang melayan negara yang agak kecil dengan rasa hormat,” kata beliau.

Begitu juga, di ASEAN, katanya, walaupun terdiri daripada 10 negara yang berbeza, “kami saling hormat menghormati, mendukung kesaksamaan dan inilah yang perlu ditonjolkan kepada dunia.”

“Kami berterima kasih kepada rakyat Rusia atas penghormatan dan penghargaan yang diberikan dan percaya bahawa kita perlu bekerjasama (walaupun) berbeza budaya dan agama, dan menjadi sahabat baik,” kata beliau.

Anwar berkata hubungan dua hala juga perlu termasuk pertukaran belia dan pelajar serta penyelidik antara Malaysia dan Rusia.

Menurut beliau, terdapat hampir 400 pelajar Rusia yang menyambung pelajaran di Malaysia manakala kira-kira 700 pelajar Malaysia berada di Rusia.

Beliau juga memuji MGIMO kerana menawarkan pengajian Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran di universiti, sambil menambah pengajian bahasa Rusia juga ditawarkan di Universiti Malaya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here