Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

KUALA LUMPUR – Bersatu Bahagian Hulu Langat sedia menerima keahlian baharu termasuk daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa kini bagaikan ‘retak menanti belah’ akibat perebutan jawatan pucuk pimpinannya dalam pemilihan parti 2025.

Ketua Penerangannya, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, konflik dalaman susulan pemilihan parti dilihat berpotensi membawa kepada perpecahan, ekoran rasa tidak puas hati segelintir pihak terhadap pucuk pimpinan mereka.

“Sebelum ini, ahli Bersatu terdiri daripada pelbagai latar belakang politik termasuk bekas ahli UMNO yang tidak lagi sehaluan dengan hala tuju semasa parti tersebut.

“Sekiranya ada dalam kalangan mereka merasakan Bersatu wadah baharu yang lebih selari dengan prinsip dan aspirasi perjuangan mereka, kami sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pemilihan Keadilan 2025 menyaksikan seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam peringkat pusat bagi sesi 2025-2028 pada 23 Mei ini.

Ia merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Dalam pemilihan parti kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.

Menurut Mohamad Shafiq, kemelut dalaman yang melibatkan pemilihan kepimpinan PKR dilihat membuka ruang serta memberikan potensi kepada Perikatan Nasional untuk memperkukuh kedudukan dan meraih sokongan menjelang PRU16.

“Hasil analisis sentimen menunjukkan ada halangan signifikan terhadap penyertaan bekas ahli PKR ke dalam Bersatu di Selangor.

“Ini memandangkan kepimpinan negeri diterajui mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Setiausaha Agung serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini, Bersatu Bahagian Hulu Langat sedang bersiap siaga untuk mengambil semula kerusi Parlimen Hulu Langat daripada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-16.

“Analisis data di peringkat lokaliti menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan terhadap Bersatu.

“Ketika ini, Bersatu Bahagian Hulu Langat mempunyai 41 cawangan aktif, dengan jumlah keahlian yang terus mencatat pertambahan setiap bulan.

“Kami menjangkakan trend ini akan berterusan, khususnya selepas pemilihan PKR akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here