Penolong Setiausaha Armada Bersatu, Mohd Fahim Mohd Farid. - Foto: FB Mohd Fahim Mohd Farid

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya gaji Ahli Parlimen dinaikkan disifatkan tidak bertepatan dengan dengan keperluan semasa negara dan realiti rakyat kebanyakan

Penolong Setiausaha Armada Bersatu, Mohd Fahim Mohd Farid berkata, cadangan itu juga disifatkan tidak logik ketika negara sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang amat membebankan, harga barang melambung, subsidi disasar, cukai diperluas dan peluang pekerjaan tidak stabil.

Sebaliknya, tambah beliau, isu sebenar yang sepatutnya menjadi fokus adalah ketidaksaksamaan dalam agihan peruntukan Ahli Parlimen.

Dakwanya, Ahi Parlimen kerajaan ketika ini menerima sebanyak RM3.8 juta setahun peruntukan kawasan; RM300,000 setahun peruntukan pengurusan pejabat (outgrant) serta akses kepada pelbagai kemudahan dan sokongan kerajaan.

Namun, ujarnya, Ahli Parlimen pembangkang pula tidak menerima satu sen sekalipun, dengan semua urusan pejabat, khidmat rakyat dan program komuniti digerakkan sendiri tanpa bantuan rasmi kerajaan.

“Perlu juga diingat bahawa majoriti Ahli Parlimen Perikatan Nasional mewakili kawasan majoriti Melayu, iaitu komuniti yang kini paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan keperluan asas.

“Namun, peruntukan terus disekat bukan kerana gagal bekerja, tetapi hanya kerana mereka pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen yang dilaporkan menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji wakil rakyat dengan alasan langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan tugas berjalan lebih cekap dan berkesan.

Wong berkata, gaji Ahli Parlimen ketika ini dianggap terlalu rendah, sedangkan mereka bukan sahaja perlu menyara keluarga, tetapi juga pegawai dan kakitangan di pejabat mereka.

Sementara itu, Mohd Fahim turut menggesa sebarang perbincangan untuk menaikkan gaji Ahli Parlimen perlu dihentikan dalam keadaan rakyat masih dihimpit kesusahan.

Sebaliknya, ujar beliau, fokus sepatutnya diberikan kepada penyelesaian sebenar iaitu pengagihan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira blok politik.

“Perkukuh institusi Parlimen dengan reformasi menyeluruh, bukan sekadar pindaan akta bersifat kosmetik yang mengekalkan ketidakadilan.

“Jangan bercakap soal gaji jika tanggungjawab dan keadilan kepada rakyat pun masih belum ditunaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here