Produk vape mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan kesan kesihatan seperti kerosakan paru-paru, kerosakan jantung, dan lain-lain masalah kesihatan.

KUALA LUMPUR – Rokok elektronik atau vape pada awalnya digambarkan sebagai alternatif ‘lebih selamat’ untuk melunaskan ketagihan nikotin berbanding rokok konvensional.

Namun, realiti di lapangan menunjukkan vape bukan sahaja gagal membantu ramai pengguna berhenti merokok, malah mencetuskan satu bentuk ketagihan baharu yang lebih mudah disorok, berbau harum dan kelihatan “tidak berbahaya” pada permukaan.

Apa yang lebih membimbangkan, golongan bawah umur kini didapati semakin mudah mendapatkan akses kepada peranti vape dan cecair pelbagai perisa yang tidak diketahui sama ada sekadar mengandungi nikotin atau bahan terlarang yang lain.

Tinjauan MalaysiaGazette terhadap beberapa orang belia mendapati rata-rata mereka menyokong pengharaman terus penjualan vape, bagi membendung masalah ketagihan dan kerosakan kesihatan jangka panjang.

Is, (bukan nama sebenar), 19, bukan pengguna vape tetapi menyaksikan sendiri bagaimana rakan sebayanya terjebak dengan ketagihan, yang menurutnya lebih serius berbanding perokok biasa.

“Saya lihat ramai kawan yang mula menghisap vape kononnya untuk berhenti rokok, tapi akhirnya lebih ketagih.

“Vape ni bukan kurang bahaya, malah bagi saya sama atau lebih teruk. Ada macam-macam perisa pelik, bau manis, senang dibawa dan semua tu tarik minat orang ramai,” katanya.

Gambar hiasan

Tambahnya, vape mudah disalah anggap sebagai trend yang tidak merbahaya hanya kerana baunya tidak menusuk dan bentuknya lebih moden.

“Kalau kerajaan haramkan vape, saya sokong. Kalau tak buat sekarang, makin ramai yang terjebak. Bahaya dia bukan biasa-biasa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Black (bukan nama sebenar), 23, yang bekerja di premis menjual vape berkata, penguatkuasaan sedia ada tidak mencukupi untuk menghalang pembelian oleh pelajar sekolah.

Dia yang juga penghisap vape sejak berusia 18 tahun tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa vape adalah pilihan lebih selamat berbanding rokok.

“Pernah beberapa kali budak sekolah datang nak beli. Bila kita tengok muka pun tahu belum cukup umur.

“Kadang-kadang kena halau. Tapi mereka tetap datang sebab vape ni senang sangat nak dapat.

“Wap dari vape terus ke paru-paru. Ada kes orang jatuh sakit lepas hisap lama. Jadi saya setuju kalau kerajaan nak haramkan, terutama untuk elak budak bawah umur terjebak,” katanya.

Bagi Black, meskipun ada pihak yang melihat industri vape sebagai sumber rezeki atau alat untuk berhenti merokok, namun kemudaratan kesihatan dan risiko kepada generasi muda adalah jauh lebih besar.

Sementara itu, Mohamad Syahidi Ahmad Ulia Uzad, 25, pula berpandangan bahawa langkah pengharaman sepenuhnya mungkin bukan solusi terbaik, sebaliknya menekankan keperluan kepada kawalan lebih ketat dan pendidikan berterusan kepada masyarakat.

Menurutnya, kandungan bahan kimia dalam vape yang boleh menjejaskan paru-paru dan sistem pernafasan jelas membuktikan bahawa ia bukan sekadar “alternatif” kepada rokok.

Mohamad Syahidi Ahmad Ulia Uzad, 25

“Saya rasa tak perlu haram terus, tapi kerajaan patut kawal dengan lebih ketat. Kalau haramkan terus, takut nanti jadi macam barang seludup, lagi susah nak pantau.

“Malah, bagi saya, vape lebih bahaya. Kita sendiri boleh lihat banyak berita tentang orang jatuh sakit akibat penggunaan jangka panjang.

“Lebih membimbangkan bila budak sekolah senang dapat. Isi perisa pelik-pelik pun ada dijual merata. Kalau tak dikawal, makin ramai yang terjebak,” tegasnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Walaupun vape adakalanya digunakan sebagai alat untuk berhenti merokok, Syahidi berpendapat trend semasa menunjukkan ia lebih banyak disalah guna, terutamanya dalam kalangan yang tidak pernah merokok pun.

[ARKIB] Sebahagian daripada cecair perisa vape disyaki dadah yang dijual di laman sesawang e- dagang yang berjaya dirampas polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2020.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengambil pendekatan berperingkat dalam menangani isu ini, termasuk melarang produk yang paling berisiko seperti perisa yang menarik minat remaja dan produk yang tidak diluluskan.

“Kalau majoriti rakyat minta, kerajaan patut ambil serius. Tapi jangan drastik sangat. Industri pun kena diberi masa untuk sesuaikan diri,” ujarnya.

Sebagai rekod, Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.

Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu, manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, Perlis dilapor turut meneliti langkah pengawalan lebih ketat susulan peningkatan penggunaan dalam kalangan belia- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here