Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Program Bicara Figura RISDA bersama Kakitangan RISDA di Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR – Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang dirangka bagi menggantikan skim pencen dijangka mengekalkan kaedah pembayaran pencen secara bulanan, berbanding pengeluaran secara sekaligus apabila penjawat awam menamatkan perkhidmatan pada umur persaraan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, cadangan itu disifatkan lebih proaktif memandangkan banyak pesara sebelum ini menjadi mangsa penipuan kewangan selepas menerima bayaran sekali gus. 

Selain itu, kaedah ini dilihat dapat mengurus simpanan hari tua dengan lebih efisien, termasuk mendapat pulangan dividen tahunan menerusi pelaburan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut beliau, simpanan melebihi keperluan tahunan akan dilaburkan semula ke dalam KWSP untuk menjana pulangan dividen. 

“Kita sedang drafkan supaya penjawat awam bagi lantikan tetap bercarum nanti akan menerima bayaran bulanan sebagaimana pesara sekarang. Kita sudah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan ada persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MoF) serta KWSP.

“Contohnya, jika keperluan setahun ialah RM25,000, baki simpanan akan terus dilabur dan memberi dividen pada akhir tahun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Bicara Figura: Menelusuri Aspirasi Memaknai Reformasi di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat RISDA. Turut hadir, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, laporan akhir Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) kini dalam peringkat dimuktamadkan dan dijadual dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Oktober ini.

Kajian menyeluruh itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta memperincikan konsep dan simulasi berkaitan pelaksanaan sistem saraan baharu.

Menurut beliau, sistem baharu yang dirangka melibatkan peralihan daripada lantikan tetap berpencen kepada lantikan tetap bercarum, sejajar dengan komitmen kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 untuk memulakan pelaksanaan penuh SSPA tahun ini.

Bagaimanapun, tiada garis masa khusus ditetapkan bagi pelaksanaan menyeluruh sistem lantikan tetap bercarum itu memandangkan ia membabitkan pindaan terhadap peruntukan dalam Perlembagaan dan akta sedia ada.

“Pengambilan dalam perkhidmatan awam pada masa ini hanya dibuat secara sementara, dengan moratorium selama tiga tahun. Selepas tempoh itu, tiada lagi skim pencen,” katanya sambil menegaskan bahawa penjawat awam sedia ada dalam skim pencen akan kekal dalam sistem tersebut dan tidak boleh memilih untuk beralih kepada caruman KWSP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here