Keadaan bangkai trak polis dan lori muatan batu dalam nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus - Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan semua tempat kerja adalah selamat susulan kejadian kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

NIOSH dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemandu kenderaan berat serta mereka yang berada di dalam dan berdekatan kenderaan tersebut juga berhak untuk bekerja atau berada di dalam persekitaran yang selamat.

Ia jelasnya, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Tambahnya, apa yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk menyelaraskan sebarang usaha meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dengan memenuhi kehendak di bawah akta tersebut, yang menuntut tanggungjawab pihak majikan untuk memastikan keselamatan pekerja mereka.

“Sehubungan itu, NIOSH bersedia untuk membantu melatih pemandu kenderaan berat menggunakan modul latihan khusus yang telah dibangunkan oleh tenaga pakar dan pemain industri dengan mengambil kira keperluan dan cabaran yang dihadapi golongan tersebut,” katanya.

Tambahnya, program yang dibangunkan di bawah modul latihan Pemandu Berhemah dan Selamat (Safe and Defensive Driving Person – SDDP) itu bukan sahaja memberi penekanan kepada teknik pemanduan selamat dan berhemah, tetapi turut meliputi aspek perundangan jalan raya, penjagaan kenderaan dan pengurusan perjalanan yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta pencegahan kemalangan dalam kalangan pemandu.

Katanya, modul yang dibangunkan oleh NIOSH itu telah pun dilaksanakan oleh beberapa syarikat yang menguruskan bas dan kenderaan berat untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja mereka mengenai aspek keselamatan di jalan raya.

“NIOSH berharap lebih ramai pihak yang mengendalikan kenderaan berat akan melaksanakan program latihan SDDP ini, termasuk agensi kerajaan dan pihak swasta,” katanya.

Dalam masa sama, tambahnya, NIOSH bersedia membantu pihak terbabit untuk melaksanakan audit keselamatan serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat.

Ia ujarnya, termasuk pelaksanaan kaedah Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

“HIRARC ialah kaedah sistematik yang digunakan untuk membantu majikan dan pekerja mengenal pasti bahaya, menilai risiko dan melaksanakan langkah kawalan bagi menjaga aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Dengan mengamalkan HIRARC, semua pihak dapat memainkan peranan penting dalam memastikan tempat kerja kekal selamat dan sihat manakala undang-undang berkaitan dapat dipatuhi,” katanya.

Katanya, di bawah undang-undang, setiap majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka semasa bekerja, termasuk memastikan kenderaan yang digunakan diselenggara dengan baik manakala pemandu mendapat latihan secukupnya.

Sehubungan itu, tambahnya, NIOSH percaya pelaburan yang dibuat untuk tujuan latihan, pendidikan dan penerapan budaya keselamatan secara proaktif adalah kunci yang mampu menyelamatkan nyawa serta menjamin kebajikan warga kerja di seluruh negara.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi di Teluk Intan, Perak kelmarin, sembilan anggota FRU maut selepas trak dinaiki mereka bertembung dengan lori membawa muatan pasir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here