Mayat Ayub Ahmad ditemukan oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung di Sungai Berhamah dekat Merapoh pada malam tadi

KUALA LIPIS – Mayat seorang lelaki ditemukan lemas ketika melombong emas di Sungai Berhamah, Merapoh, di sini semalam.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa pergi ke sungai yang terletak kira-kira satu kilometer (km) daripada rumahnya pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun Ayub Ahmad, 37, tidak pulang ke rumahnya di Kampung Berhamah sehingga lewat petang.

”Kejadian disedari oleh abang mangsa pada jam 7 malam apabila mangsa tidak pulang ke rumah. Kemudian abang mangsa telah pergi ke Sungai Berhamah untuk mencari.

”Pada jam 9 malam, abangnya menyedari barang-barang mangsa masih ada di tepi sungai tersebut, jadi beliau datang ke balai polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Susulan itu katanya, pihak polis yang menerima maklumat terus ke lokasi serta pencarian di sekitar tempat kejadian dilakukan dengan bantuan penduduk kampung.

Pada jam 11.30 malam hari yang sama, mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan penyelamat bersama orang kampung .

Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan (KK) Merapoh pada jam 11.45 malam dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Polis mengesahkan hasil bedah siasat menunjukkan sebab kematian berpunca daripada insiden lemas dan siasatan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here