KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan seorang individu hari ini susulan satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, siasatan terhadap individu berkenaan dimulakan susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.
Menurutnya, sebuah telefon bimbit turut disita bagi membantu siasatan dan individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan dan penggunaan ilustrasi yang tidak tepat khususnya di platform dalam talian boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.
Sehubungan itu, katanya, MCMC menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (Al) dan penjana kandungan digital.
“Amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta yang teliti adalah amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
“MCMC komited untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu,” katanya. – MalaysiaGazette