Ketiga-tiga pakar penyiasat dari Malaysia memulakan penyiasatan di lokasi kejadian trajedi MH17 trajedi di Ukraine ketika tinjauan di Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Gambar arkib MalaysiaGazette.

MOSCOW – Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov percaya pengumuman Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyalahkan Moscow berhubung kemalangan pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines adalah bagi mengurangkan tumpuan terhadap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.

“Adalah jelas kepada semua orang bahawa ia dilakukan untuk cuba membayangi lawatan ini. Rakan kami, Malaysia memahami dengan baik mengenainya.

“Sepanjang masa kami berhubung rapat dengan mereka. Mereka melihat siapa yang melakukan siasatan, melakukannya dengan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada wartawan.

Anwar kini dalam rangka lawatan ke Rusia bermula 13 hingga 16 Mei ini atas undangan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Semalam, menurut kerajaan Belanda, ICAO memutuskan Russia bertanggungjawab atas insiden tembakan jatuh penerbangan MH17 di ruang udara Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

ICAO, sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempunyai 193 negara anggota.

Dalam kenyataan itu, kerajaan Belanda berkata, ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.

Pesawat Boeing B777 itu berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, dan ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.

Lavrov mendakwa, terdapat ‘banyak fakta’ yang menunjukkan siasatan yang dilakukan meragukan.

“Sebagai permulaan, Ukraine tidak pernah memberi data dariapada radar mereka, tidak seperti kami.

“Amerika tidak memberi data daripada satelit mereka, tetapi hakim dan The Hague merekodkan bahawa ‘Amerika memberitahu kami, memetik data satelit mereka, Rusia melakukannya (menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines). Kami percaya mereka’. Baiklah, ini bukan kaedah undang-undang yang diamalkan!,” kata Menteri itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here