MHO bersama mangsa penipuan pelaburan kripto Gigamax diluar pekarangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi menjelaskan status sebenar penahanan dalang utama sindiket penipuan pelaburan matawang kripto Gigamax.

Ini susulan laporan media yang mendakwa tentang penahanan tiga individu terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 6 Mei lalu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sepucuk surat rasmi telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung siasatan berhubung sindiket penipuan yang menyebabkan kerugian hampir RM5 juta.

Jelasnya, MHO terpaksa menyerahkan surat berkenaan memandangkan tiada sebarang kenyataan dibuat pihak polis berhubung tangkapan tersebut.

Ia juga meminta agar identiti individu yang ditangkap didedahkan.

“Kami amat menghargai tindakan pantas pihak polis dalam melakukan tangkapan, namun para mangsa kini mahu tahu apakah status suspek-suspek tersebut.

“Adakah siasatan sedang berjalan ketika ini? Bilakah pendakwaan akan dilakukan? Ini adalah soalan yang wajar dijawab secara telus dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishamuddin, sebanyak 99 aduan rasmi telah diterima oleh MHO daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan melalui aplikasi Gigamax.

Dakwanya, kesemua mangsa terlibat melaporkan jumlah kerugian yang dianggarkan mencecah RM4,864,861.12.

“Para pengadu terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan pesara dan mereka menyertai skim ini setelah diyakinkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan pulangan lumayan. Realitinya, mereka akhirnya menanggung kerugian besar,” ujarnya.

MHO turut menyeru agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti rangkaian sindiket yang mungkin masih bebas, serta memastikan semua yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Mangsa memerlukan kepastian bahawa undang-undang berfungsi dan hak mereka tidak diketepikan. Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, tetapi mesti dilihat ditegakkan,” kata Hishamuddin.

Beliau turut menegaskan bahawa MHO akan terus memainkan peranan sebagai badan pemantau dan penghubung antara mangsa serta pihak berkuasa, dalam memastikan ketelusan serta integriti proses siasatan dan perundangan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here