SINGAPURA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) terus mempertingkatkan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi meningkatkan ketelusan, mempermudah proses dan meningkatkan fleksibiliti dasar sebagai respons kepada perubahan landskap global, kata menterinya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata program MM2H yang dipertingkatkan itu sedang membentuk satu daripada platform pemastautin jangka panjang terkemuka dunia dengan menawarkan peringkat Platinum, Emas dan Perak bagi memenuhi pelbagai keperluan golongan termasuk individu berpendapatan tinggi, keluarga, pesara dan nomad digital.
“Ia bukan sekadar visa – tetapi satu cadangan gaya hidup komprehensif merangkumi taraf hidup premium, penjagaan kesihatan yang diiktiraf antarabangsa, pendidikan berkualiti, keselamatan dan kesalinghubungan ASEAN yang lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, semasa lawatan kerja beliau di sini, Tiong melancarkan acara promosi “Maybank Premier MM2H – Your Gateway to Malaysia” yang diadakan dengan kerjasama Maybank Singapura.
Pada majlis itu, beliau menggalakkan rakyat Singapura bukan sahaja untuk melawat Malaysia tetapi turut mempertimbangkannya sebagai pangkalan strategik mereka yang seterusnya.
Beliau menekankan bahawa Malaysia menawarkan pelbagai kelebihan termasuk kos sara hidup yang berpatutan, infrastruktur premium dan akses ke pasaran serantau yang lebih luas tanpa menjejaskan kualiti.
“Malaysia bukan sekadar destinasi – ia adalah pilihan strategik. Memilih Malaysia sebagai rumah kedua anda bermakna mendapat akses ke satu daripada negara Asia Tenggara yang paling selesa didiami, memiliki jaringan perhubungan yang baik dan mesra pelaburan,” katanya dipetik sebagai berkata dalam kenyataan MOTAC.
MOTAC berkata kerjasama dengan Maybank Singapura menyediakan peserta dengan akses kepada perkhidmatan nasihat kewangan yang dipercayai dan sokongan proses pendaftaran yang lancar, memudahkan pelanggan Singapura meneroka pilihan MM2H dengan yakin dan selesa.
Acara itu diadakan dalam dua sesi, dengan lebih 60 peserta menghadiri sesi pagi dan lebih 140 pada sesi petang, menunjukkan minat yang kuat dan berterusan terhadap program MM2H dalam kalangan rakyat Singapura.
Pada 2024, Malaysia menerima 18,855,680 pelawat dari Singapura, meningkat 27.2 peratus berbanding 2023 dan melepasi angka prapandemik 2019 sebanyak 10.7 peratus.
Pelawat Singapura juga menyumbang RM27.94 bilion dalam hasil pelancongan pada 2024, meningkat 29.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
MOTAC berkata program MM2H turut menerima sambutan hangat, dengan Singapura menduduki tempat ketiga sebagai negara sumber permohonan tertinggi bagi suku pertama tahun ini selepas Taiwan dan China.
— BERNAMA