Temubual bersama Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mat Taib di kediamannya Jalan Manikam 7/2, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Biarpun Akta 153 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan hak Bumiputera tidak akan tergugat, namun hakikatnya orang Melayu masih jauh ketinggalan, demikian menurut bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Beliau melahirkan rasa bimbang kerana sehingga kini, tidak ada tindakan pembaharuan (affirmative action) yang dilakukan selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 1970 (KEB).

“Pada ketika itu, KEB yang dibuat oleh Allahyarham Tun Abdul Razak adalah untuk membantu orang Melayu di luar bandar.

“Sebab itu kita tengok, adanya Mara, Felda, Risda dan macam-macam lagi yang nak bantu orang Melayu dan ini ternyata berjaya.

“Kenapa nak bantu Melayu? Kerana orang Melayu adalah bangsa asal yang sudah bertapak lama di Tanah Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Muhammad, KEB itu bukan bererti memanjakan orang Melayu dengan pelbagai insentif atau bantuan, sebaliknya hakikat orang Melayu sangat jauh ketinggalan.

“Pengkelasan yang dibuat zaman British yang meletakkan imigran di Tanah Melayu duduk di pekan atau bandar dan orang Melayu pula menjadi penghuni di luar bandar.

“Di bandar, British dirikan sekolah dan semua prasarana ketika itu boleh dikatakan yang terbaik di bawa dari luar negara.

“Jadi, imigran atau orang asing ini mendapat pendidikan, kerja yang baik dan orang Melayu hanya bersekolah di luar bandar dengan kekurangan serba serbi,” katanya.

Jelasnya, orang Melayu masih jauh ketinggalan jika mahu dibandingkan dengan bangsa-bangsa imigran yang lain.

“Kita lihat bagaimana bangsa-bangsa yang datang ke Tanah Melayu ditempatkan di kawasan bandar sejak beratus tahun lamanya.

“Sekarang, apabila ada pihak yang mengatakan orang Melayu kena bersaing dengan mereka (imigran) di bandar, percayalah ia tidak akan berlaku.

“Saya umpamakan orang Melayu hanya ada sebelah kaki dan migran pula ada dua kaki, beritatahu saya macam mana mereka ini mahu bersaing?,” katanya.

Temu bual bersama Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib di kediamannya. Foto MOHD ADZLAN SIDEK.

Muhammad berkata, kerajaan hari ini seharusnya lebih menekankan mengenai nasib orang Melayu di bandar.

“Berapa ramai orang Melayu yang mampu hidup di bandar dengan senang pada waktu sekarang?

“Berapa ramai orang kaya daripada kalangan orang Melayu hari ini di Malaysia?

“Di Shah Alam ini dulu… ketika saya mentadbir, saya mahukan 70 peratus orang Melayu, sekarang kalau tengok… semakin mengecil bilangan Melayu di sini, sama juga di bandar-bandar lain.

“Sebab tu saya makin risau dengan nasib dan kedudukan orang Melayu kita khususnya di bandar-bandar,” ujarnya.

Muhammad berkata, KEB pada hari ini seharusnya bukan lagi membawa agenda lama dan harus lebih efisien membantu golongan Bumiputera dan Melayu.

“Siapapun kerajaan yang memerintah, kalau Nasib Melayu tidak terbela, saya anggap semakin hari orang Melayu akan pupus di bandar-bandar.

“Kalau saya tidak bersuara, siapa lagi nak bercakap soal ini? Kepentingan orang Melayu seperti saya katakan merupakan penduduk asal tanah air ini harus terus terbela,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here