CYBERJAYA – Ops Gasak yang telah dilaksanakan bermula 1 Mei lalu bukan bertujuan untuk menarik subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Malah, pelaksanaan operasi itu juga bukanlah satu peraturan baharu dan ia merupakan undang-undang sedia ada yang dikuat kuasakan melalui ketangkasan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan telah lama memberi ruang kepada pengusaha-pengusaha industri yang menggunakan LPG bersubsidi untuk perniagaan komersial mereka dan langkah yang diambil kini merupakan tanggungjawab kementerian itu.
“Sudah lama (beri peluang gunapakai subsidi). Dan dari segi peniaga-peniaga dobi ini pun ramai kalangan mereka yang telahpun menggunakan LPG industri ini.
“Jadi, bagi saya kalau kita tidak mengambil tindakan tidak adil kepada mereka yang telah menggunakan yang patuh kepada etika dan juga peraturan perniagaan sedia ada menggunakan LPG yang tidak disubsidikan.
“Namun, kita melaksanakan perdekatan yang berhemah. Pada peringkat ini kita kita mahu supaya mereka patuh kepada peraturan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit Dan Majlis Penghargaan Usahawan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pengusaha-pengusaha dobi mencadangkan agar kerajaan menangguhkan tindakan penguatkuasaan Ops Gasak terhadap mereka berkaitan penggunaan LPG bersubsidi.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula), Zarina Ismail dipetik berkata, penangguhan pelaksanaan operasi itu perlu dilakukan sehingga sesi libat urus bersama pemain industri, khususnya persatuan dobi diadakan dan persetujuan dicapai.
Katanya, peralihan kepada penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder seberat 14 kilogram adalah peningkatan lebih daripada dua setengah kali ganda berbanding kadar bersubsidi sebelum ini iaitu RM27 hingga RM30.
Mengulas lanjut Armizan berkata, pihaknya mendengar secara rawak suara-suara peniaga terbabit dalam hak itu.
Namun katanya, dasar berkenaan digubal oleh jemaah menteri dan juga agensi pusat serta menjadi tanggungjawab KPDN dalam aspek penguatkuasaan.
“Dan saya ulang lagi kerajaan tidak tarik subsidi, yang kedua ini bukan peraturan baru. Tetapi, yang sedia ada untuk kita kuatkuasakan,” katanya.
Ops Gasak 2025 adalah sebahagian daripada kerangka inisiatif pelaksanaan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) bagi memastikan gas memasak bersubsidi tidak disalah guna oleh pihak industri yang tidak layak. – MalaysiaGazette