KUALA LUMPUR – Langkah Kerajaan Negeri Terengganu menaikkan papan tanda larangan terhadap perbuatan homoseksual bukan tindakan kebencian terhadap individu, sebaliknya satu bentuk pendidikan dan amaran kesihatan awam yang berasaskan syariat Islam dan bukti saintifik.
Sambil menyokong penuh langkah itu, Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda Pas Terengganu, Dr. Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, inisiatif tersebut juga selari dengan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) yang menunjukkan kelompok LGBT adalah antara penyumbang utama kepada penularan jangkitan HIV di Malaysia.
Sehubungan itu, ujar beliau, pencegahan dari sudut agama, sosial dan kesihatan perlu dilakukan secara bersepadu dan menyeluruh.
“Langkah proaktif kerajaan negeri ini selaras dengan prinsip amar makruf nahi mungkar dan menunjukkan komitmen terhadap pemulihan masyarakat, bukan penghukuman individu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, tambah Dr. Tengku Fakhruddin, Pemuda Pas Terengganu menyeru seluruh rakyat dan institusi untuk mendukung usaha dakwah terbabit dengan hikmah dan kasih sayang.
Katanya, ia demi menyelamatkan generasi muda dari gelombang keruntuhan moral dan bahaya penyakit yang menular secara senyap.
“LGBT bukan hanya isu akhlak ia kini menjadi isu kesihatan awam yang serius,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu papan tanda yang memaparkan dua figura lelaki berpegang tangan sambil dikelilingi api bersama ayat al-Quran yang melarang hubungan sejenis berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Papan tanda itu dikecam kumpulan hak asasi yang menyifatkannya sebagai penyalahgunaan agama terhadap komuniti LGBTIQ, wanita dan golongan minoriti.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, papan tanda itu merupakan sebahagian daripada usaha mendidik rakyat agar menjauhi perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat.
Sebelum ini, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan gejala seks songsang lelaki sesama lelaki atau Men Sex with Men (MSM) yang meningkat saban tahun, terutama dalam kalangan remaja dan golongan muda.
Presiden Papisma, Dr Awisul Islah Ghazali berkata, statistik KKM pada 2024 menunjukkan sebanyak 2,037 kes atau 64 peratus daripada 3,185 jangkitan HIV berpunca daripada hubungan homoseksual dan biseksual. – MalaysiaGazette