PUTRAJAYA – Proses kehakiman perlu telus dan bebas daripada keraguan, kata peguam kanan Datuk Jagjit Singh.
Jagjit yang berhujah bagi menyokong permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya sabitan terhadapnya diketepikan mempersoalkan kehadiran dua pegawai Unit Penyelidikan Mahkamah yang duduk berhampiran barisan peguam pembela semasa perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar berjumlah RM1.25 bilion.
Katanya, kehadiran mereka menimbulkan tanda tanya dan mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan draf penghakiman disediakan bukan oleh hakim.
“Siapa yang arahkan kehadiran mereka? Mengapa mereka berada di situ?,” katanya di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin di Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.
Menurutnya, peranan pegawai penyelidik adalah membantu daripada segi kajian undang-undang, namun penulisan penghakiman adalah daripada hakim bagi menjamin integriti dan keaslian keputusan.
“Sekiranya terdapat campur tangan atau sumbangan besar dari pihak lain dalam penyediaan penghakiman, ini boleh menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman,” ujarnya.
Menurut Jagjit, draf penghakiman yang didakwa bocor menunjukkan seolah-olah keputusan telah disediakan lebih awal, sekali gus menimbulkan kebimbangan wujudnya kemungkinan berat sebelah.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, difailkan pada 2022 susulan dakwaan kebocoran draf penghakiman tersebut.
Jagjit menambah, jika benar Unit Penyelidikan terlibat dalam penyediaan draf keputusan tanpa arahan rasmi, ia menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan serius dalam amalan kehakiman.
“Nilai asas dalam sistem kehakiman adalah kepercayaan bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri, bukan hasil tangan orang lain,” katanya.
Pada 1 September 2022, hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Prosiding bersambung pada 25 Jun. – MalaysiaGazette