PUTRAJAYA – Golongan pempengaruh dan pencipta kandungan media sosial dinasihatkan agar menghasilkan kandungan yang membina dan membawa mesej positif, bukannya mencetuskan provokasi dan perpecahan dalam masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, tindakan segelintir pempengaruh yang menghasilkan kandungan sensitif dan menghina pihak lain boleh mengganggu keharmonian sosial serta mencetuskan ketegangan.

“Marilah kita bersama-sama mencipta konten yang positif, yang menghormati orang lain, membina, dan dalam masa sama boleh mewujudkan keharmonian dan kerukunan dalam masyarakat.

“Jadilah ejen perdamaian dan perpaduan, bukannya perpecahan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelantikan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu yang tular baru-baru ini membabitkan seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai DMA Islam.

Kandungan yang dimuat naik DMA Islam yang mana dia yang mengkritik jurusan pengajian individu lain mencetuskan perbalahan terbuka dalam kalangan netizen serta melibatkan keluarga selebriti.

“Saya sendiri perlu meneliti kandungan tersebut kerana dalam Islam kita kena amalkan konsep tabayyun, seperti yang digariskan dalam Surah Al-Hujurat.

“Tetapi secara umumnya, kita nasihatkan agar semua pempengaruh lebih berhati-hati dan bertanggungjawab,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas insiden seorang pempengaruh wanita dikenali sebagai Siti Jamumall yang dilafazkan talak cerai oleh suaminya ketika bersiaran langsung di media sosial yang ditonton lebih 20,000 pengguna.

“Saya serahkan kepada pihak berautoriti untuk mengulas kerana ia melibatkan hukum.

“Namun, dari pihak kami, saya ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar lakukan sesuatu dengan penuh kesopanan dan mengikut undang-undang,” ujarnya.

Zulkifli turut mengalakkan masyarakat untuk bersifat ihsan dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

“Dalam masa yang sama, bersikaplah dengan ihsan sebagai manusia. Fikirkan kesan terhadap diri sendiri dan juga orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here