KUALA LUMPUR – Pendedahan bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menggeledah peti besi yang menyimpan sebahagian daripada wang tunai RM79 juta hasil penjualan lot tanah di Pulau Pinang menimbulkan persoalan.
Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong berkata, ramai yang tertanya-tanya bagaimana peti besi yang mengandungi wang sebagai bukti suapan rasuah boleh terlepas pandangan SPRM pada ketika itu.
Sedangkan, kediaman Datuk Seri Najib Razak digeledah pada malam pertama bulan Ramadan sehingga memberi gambaran persepsi negatif yang cukup dahsyat kepada bekas perdana menteri itu.
Malah, barangan milik peribadi beliau yang tiada kaitan dengan kes yang disiasat turut dipamerkan kepada orang ramai, yang secara jelas mahu mengaibkan perdana menteri itu.
Lantaran itu, tindakan SPRM membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
“Jelas sekali wujudnya kelemahan dalam prosedur operasi standard SPRM, dan ia harus diperbaiki segera bagi mengelak kesilapan ini daripada berulang.
“Bayangkan berapa banyak kes tidak dapat disiasat sepenuhnya kerana bukti gagal disita. Ini secara langsung memberi bayangan kes rasuah membabitkan individu berprofil tinggi akan menerima “layanan khas” berbanding dengan kes berkaitan rakyat marhaen,” katanya dalam kenyataan di sini.
Selain itu, katanya, pengakuan saksi bahawa wang diberi kepada seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja untuk menutup siasatan terhadap beliau dan Lim Guan Eng satu tamparan terhadap persepsi yang sering dimainkan DAP sebagai sebuah parti politik yang kononnya bersih dan bebas dari amalan rasuah.
Walaupun dakwaan dan keraguan telah dibangkitkan berkenaan projek terowong dasar laut di bawah Guan Eng sebelum ini, namun tiada tindakan diambil pasa masa itu, secara langsung menghakis keyakinan rakyat terhadap badan penguatkuasaan negara.
Justeru itu, diharapkan kerajaan mengambil langkah reformasi institusi untuk menjamin kebebasan SPRM sepertimana yang pernah dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini, dengan meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette