KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Kilometer 13, Jalan Banting – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitenden Mohd Akmarizal Radzi berkata, lelaki tempatan berusia 40-an itu yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 datang dari arah Banting menghala ke KLIA dan berhenti di lampu merah.
“Kemudian, manga telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori jenis Nissan yang dipandu lelaki tempatan berusia 30-an hingga menyebabkan mangsa tercampak serta terperosok di bawah lori itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dihantar ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BPST), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk membuat laporan polis dan rakaman percakapan.
“Siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku masalah teknikal pada lori terbabit semasa kejadian. Segala kemungkinan ketika kejadian masih dalam siasatan dan lori itu telah dihantar untuk ujian teknikal bagi mendapatkan pandangan pakar,” jelasnya.
Berikutan itu kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Sohairi Manaf dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Langat di talian 019-9993077 atau 03-3187 2222,” ujarnya. – MalaysiaGazette