Permintaan buruh Malaysia berkembang sebanyak 1.4 peratus dengan 9.06 juta jawatan bagi Suku Tahun Pertama 2025.

KUALA LUMPUR – Permintaan buruh Malaysia terus berkembang sebanyak 1.4 peratus dengan 9.06 juta jawatan bagi Suku Tahun Pertama 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, negara mencatatkan peningkatan 127,000 jawatan baharu berbanding suku yang sama tahun lalu (ST1 2024: 8.94 juta).

“Dapatan itu hasil daripada Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas syarikat perniagaan berdaftar dalam sektor swasta.

“Ini sejajar dengan prestasi ekonomi semasa di Malaysia yang diunjur terus bertambah baik, disokong oleh permintaan dalam negara berdaya tahan.

“Dari jumlah itu, sebanyak 97.9 peratus jawatan telah diisi manakala 2.1 peratus masih kosong,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Laporan ini membentangkan statistik permintaan buruh merangkumi indikator bilangan jawatan, jawatan diisi, kekosongan jawatan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Mohd Uzir berkata, bilangan jawatan diiisi meningkat sebanyak 1.4 peratus tahun ke tahun, mencecah 8.87 juta jawatan pada suku tahun ini berbanding 8.75 juta pada ST1 2024.

“Semua sektor menyumbang secara positif kepada pertumbuhan keseluruhan jawatan diisi di mana sektor Perkhidmatan mendahului dengan pertumbuhan tertinggi sebanyak 1.8 peratus.

“Ini diikuti oleh sektor Pembuatan dan Pembinaan masing-masing pada kadar 1.5 peratus dan 0.5 peratus,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, sektor Perkhidmatan mendominasi jawatan diisi dengan 52.8 peratus atau 4.69 juta jawatan, diikuti sektor Pembuatan (26.9 peratus atau 2.38 juta jawatan) yang mengatasi sektor Pembinaan (14.1%; 1.25 juta).

“Majoriti jawatan diisi dalam kategori separuh mahir dengan 5.55 juta jawatan diisi, mewakili 62.5 peratus dari jumlah keseluruhan.

“Ini diikuti kategori mahir merangkumi 2.23 juta jawatan diisi (25.2%) dan berkemahiran rendah yang mencatatkan 1.09 juta jawatan diisi (12.3%),” katanya.

Selain itu, katanya, kekosongan jawatan pada suku tahun ini meningkat sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun kepada 194,100 meningkat dari 191,900 pada ST1 2024.

Jelasnya, sektor Pembuatan kekal sebagai pemacu utama dalam kekosongan jawatan dengan 57.3 peratus terutamanya dalam subsektor Produk Elektrik, Elektronik dan Optikal (33,900 jawatan).

“Ini diikuti dengan Produk petroleum, kimia, getah dan plastik (20,200 jawatan).

“Sektor Pertanian dan Pembinaan pula masing-masing mencatatkan 31,800 (16.4%) dan 25.4 ribu (13.1%) kekosongan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kategori separuh mahir menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 56.3 peratus atau 109,200 perjawatan.

“Manakala kategori mahir dan berkemahiran rendah masing-masing mencatatkan 24.4 peratus (47,400) dan 19.3 peratus (37,500),” katanya.

Sementara itu, katanya, sejumlah 33,200 jawatan baharu diwujudkan, meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding 32,100 pada suku sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan pewujudan jawatan khususnya dalam kategori mahir dan separuh mahir mampu menggalakkan individu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mengikuti latihan khusus.

“Ia seterusnya membina tenaga kerja yang berkemahiran dan berinovasi,” katanya.

Tambah Mohd Uzir, kategori separuh mahir menjadi penyumbang terbesar kepada pewujudan jawatan dengan 62.5 peratus (20,800) diikuti kategori mahir (26.9%; 8.9 ribu) dan berkemahiran rendah (10.6%; 3.5 ribu).

“Sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang utama dengan 16,000 jawatan baharu diwujudkan (48.1%), dipacu oleh subsektor Perdagangan borong dan runcit dengan 8,800 pewujudan jawatan.

“Sektor Pembuatan pula mencatatkan 12,100 jawatan baharu (36.5%) tertumpu dalam subsektor Produk elektrik, elektronik dan optikal, yang mewujudkan 4,200 jawatan baharu.

“Manakala sektor Pembinaan pula mencatatkan sejumlah 3,600 jawatan (10.8%),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here