PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) masih terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan parti-parti politik tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, parti itu tidak mempunyai tempoh waktu untuk memuktamadkan jalinan kerjasama biarpun sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Beliau yang juga Pengerusi BN memberitahu, apa yang pasti, kerjasama dengan parti politik tempatan diperlukan bagi kestabilan politik antara Kerajaan Pusat dan negeri.
“Bukan sahaja dengan GRS tetapi kami terbuka untuk mengadakan perundingan dengan parti parti politik yang lain di Sabah.
“Saya tidak ada jangkaan tertentu kerana saya tidak mempunyai lampu Aladin untuk membuat sesuatu di dalam keajaiban.
“Namun tentunya sebagaimana disebutkan oleh perdana menteri, kita mahu supaya ada kestabilan politik antara kerajaan negeri dan pusat.
“Kepentingan pemegang taruh iaitu rakyat di sesebuah negeri, jadi kalau ini difikirkan sebagai sesuatu yang baik oleh pemimpin mana-mana organisasi politik, ianya harus diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadri Majlis
Perkhidmatan Cemerlang & Apresiasi Kementerian Kemajuan Desan dan Wilayah Tahun 2024, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahidi berkata, walaupun belum ada keputusan muktamad mengenai pembentukan gabungan besar, namun beberapa kemungkinan sedang diteroka termasuk kerjasama antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan pihak-pihak lain.
“BN–PH plus plus plus, sepatutnya kita tidak tertakluk kepada satu atau dua sahaja gabungan. Kerjasama dengan pihak lain perlu diterokai.
“Apa yang penting ialah mana-mana parti politik atau gabungan politik yang berpengkalan di Pusat wajib bekerjasama dengan parti atau gabungan politik di Sabah,” katanya.
Baru-baru ini, BN dan PH akan bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan bersama hari ini, menjelaskan kerjasama itu termasuk hal pembahagian kerusi.
Pada 1 Mei lalu, BN Sabah mengesahkan akan bertanding 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN17 negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dilapor berkata, baki 33 kerusi diberikan kepada PH. – MalaysiaGazette