LANGKAWI – Dua anggota tentera dikejarkan ke hospital selepas bot dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bot pelancong ketika melakukan raptai demonstrasi keupayaan sempena perasmian pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) berhampiran sebuah jeti, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.34 petang tadi dan bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dinaiki lima pegawai serta anggota.

“Bot tersebut telah bertembung dengan sebuah bot pelancongan awam tanpa penumpang yang berlabuh berhampiran kawasan tersebut.

“Susulan itu, kedua-dua anggota telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut susulan insiden tersebut dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan orang awam.

“Bagaimanapun, sehingga kini pihak kami masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Shariman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Orang ramai diminta untuk menunggu kenyataan rasmi daripada pasukan keselamatan yang terlibat bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden ini,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial yang menunjukkan situasi bot keselamatan yang dipercayai sedang melakukan raptai sempena LIMA’25 melanggar bot awam berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here