KUALA LUMPUR – Jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka diisi dalam masa terdekat apabila proses pemilihan calon kini berada pada peringkat akhir.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, seperti pelantikan bagi beberapa jawatan tinggi kerajaan lain, proses pemilihan turut melalui pelbagai peringkat saringan sebelum diumumkan secara rasmi.
“Ya, sebenarnya calon sudah ada. Seperti yang kita maklum, dalam pelantikan beberapa jawatan utama, ada banyak peringkat yang perlu dilalui.
“Sama seperti pelantikan di Kastam Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia melibatkan proses yang rapi dan teliti.
“Sekarang pada pandangan saya, ia sudah berada di peringkat akhir,” katanya ketika sidang media selepas Program Bicara Figura Risda, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatan Ketua Pengarah AKPS masih belum diisi secara rasmi dan beliau dijadualkan mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bagi membincangkan pengisian jawatan itu.
Jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong sejak 9 Februari lalu susulan persaraan Datuk Seri Hazani Ghazali.
Difahamkan, AKPS akan mula beroperasi sepenuhnya bulan depan dan akan diletakkan di bawah pemantauan ketat SPRM bagi memastikan integriti agensi yang diberi tanggungjawab mengawal keselamatan sempadan negara itu terus terpelihara. – MalaysiaGazette