KUALA LUMPUR – Sebuah treler hilang kawalan menyebabkan enam kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 32.5 Jalan Klang-Banting di depan sebuah bank di Banting, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian sekitar jam 12.15 tengah hari itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah treler dari arah Dengkil menghala ke Sungai Buaya, Banting telah hilang kawalan lalu melanggar sebuah treler lain.
“Akibat kejadian itu, treler tersebut telah bergerak ke hadapan dan melanggar beberapa kenderaan melibatkan sebuah kereta jenis Proton X90, Proton Persona dan Gen2.
“Nahas itu turut melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang sedang berhenti memberikan laluan kepada kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, semakan lanjut pemandu treler itu merupakan lelaki tempatan berusia 40-an mempunyai lesen memandu dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.
“Susulan kejadian itu, kesemua pemandu kenderaan termasuk dua suri rumah serta saksi bebas telah hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah ini.
“Siasatan masih dilakukan termasuk aspek masalah brek pada treler itu dan kenderaan berat itu akan dihantar bagi ujian untuk tujuan itu,”jelasnya.
Katanya lagi, kes diklasifikasi dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mazrol Mohd. Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette