Para peserta bersama tenaga pengajar Program Bimbingan STEM Living Lab Edu-Xperiential.

KOTA KINABALU – Seramai 57 pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dan SMK Taman Tun Fuad menyertai Program Kelas Bimbingan STEM Living Lab Edu-Xperiential, anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan melalui inisiatif Geran Living Lab sebagai langkah strategik memperkukuh kecemerlangan akademik, meningkatkan enrolmen dalam bidang STEM serta membina budaya prestasi cemerlang dalam kalangan pelajar menjelang SPM 2025.

Menurut Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh, program tersebut membuka ruang kepada para pelajar untuk mencipta kejayaan luar biasa dalam bidang STEM.

“Program berfasa ini melibatkan enam subjek utama iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, Fizik, Kimia dan Biologi. Setiap sesi dibimbing oleh tenaga pengajar pakar daripada sekolah menengah serta disokong oleh barisan pensyarah, penyelidik dan fasilitator pelajar UMS.

“Dengan usaha gigih dan semangat yang tidak putus asa, saya yakin program yang UMS anjurkan ini akan dapat membantu para pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025,” katanya pada majlis perasmian program yang berlangsung di Bilik Seminar FPPS UMS.

“Program Kelas Bimbingan STEM Living Lab Edu-Xperiential bukan sahaja memperkukuhkan persediaan akademik pelajar menghadapi SPM, malah menjadi pemangkin membina generasi STEM yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampu menerajui masa depan negara.

“Langkah kolaboratif antara UMS dan sekolah-sekolah menengah ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti mampu dilonjakkan apabila kepakaran dan semangat kerjasama digembleng sepenuhnya,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Geran Living Lab Edu-Xperiential, Profesor Dr. Sabariah Sharif berkata, program bimbingan tersebut turut memberi peluang kepada pelajar-pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI) dan pelajar-pelajar prasiswazah UMS untuk menimba pengalaman dalam mempraktikkan kemahiran pedagogi, mengajar teknik komunikasi dan membina keyakinan diri untuk berdepan realiti dunia pendidikan.

“Kejayaan program ini disokong oleh penggunaan modul-modul STEM inovatif yang dibangunkan melalui kolaborasi guru pakar dan penyelidik UMS. Modul-modul tersebut mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI), gamifikasi, simulasi digital dan pembelajaran berasaskan projek, sekali gus membina suasana PdPc yang lebih interaktif, menarik dan berkesan.

“Kita ucapkan penghargaan kepada semua tenaga pengajar dari Sekolah-sekolah yang terlibat seperti SMK Perempuan Likas, SMK Gunsanad Keningau, SM St. Michael Penampang, SMK Tamparuli, SMK Tenghilan serta semua pensyarah UMS yang turut serta dalam program bimbingan ini.

“Sebagai harapan masa depan, program seumpama ini akan terus diperluas ke lebih banyak sekolah, membuka lebih banyak peluang kepada pelajar luar bandar dan bandar untuk menggapai kecemerlangan dan meningkatkan enrolmen dalam bidang STEM, seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan Sabah dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here