KUALA LUMPUR – Dua wanita warga Vietnam telah ditahan di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang Selasa lalu kerana tinggal melebihi tempoh masa dan terdapat percanggahan pada endorsmen rekod perjalanan rasmi mereka.
Penahanan itu dibuat hasil pemeriksaan rambang oleh Unit Pemantau antara jam 5 petang hingga 11 malam ke atas kira-kira 150 warga asing di sekitar terminal tersebut.
Kedua-dua wanita itu dikesan berlegar-legar secara mencurigakan di kawasan Balai Berlepas semasa pemeriksaan dibuat.
Siasatan lanjut mendapati kedua-dua wanita tersebut, yang dijadualkan berlepas ke Ho Chi Minh dengan penerbangan AirAsia, telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.
Semakan melalui sistem imigresen juga menunjukkan endorsmen cap keselamatan keluar dan masuk pada pasport mereka tidak selaras dengan rekod perjalanan rasmi.
Berikutan kesalahan itu, mereka telah dibawa ke Balai Polis KLIA sebelum ditahan selama 14 hari di bawah Seksyen 51(3)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1963/69 untuk siasatan lanjut. Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Unit Penguat Kuasa.
Operasi pemantauan ini dilaksanakan selaras dengan Tatacara Kerja Piawai (ATKPI), Arahan Pentadbiran, dan arahan semasa, sebahagian daripada usaha berterusan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam memastikan tahap keselamatan dan kawalan sempadan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Pihak AKPS akan terus mempergiatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan di pintu-pintu masuk negara dan akan memastikan sempadan negara ini bebas dari dibolosi, katanya.
Dalam pada itu, AKPS meminta orang awam memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette