KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar permohonan Datuk Peter Anthony untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana pemalsuan dokumen.
Pada hari yang sama, panel bersidang turut akan mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah.
Tarikh itu dimaklumkan kepada pemberita oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd. Khairi Harun.
Pihak pendakwaan turut diwakili oleh TPR Haresh Prakash Somiah manakala Datuk Rosal Azimin Ahmad antara peguam yang hadir mewakili Peter.
Selasa lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menangguhkan prosiding dan menetapkan hari ini untuk pengurusan kes.
Pada prosiding itu, beliau berkata, permohonan semakan Peter dan bantahan awal pendakwaan, akan diteruskan meskipun alasan penghakiman penuh belum disiapkan oleh panel terdahulu Mahkamah Rayuan.
“Sama ada alasan penghakiman penuh disiapkan atau tidak, mahkamah akan mendengar permohonan semakan dan bantahan awal pendakwaan pada hari yang sama,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.
Pihak pendakwaan membantah permohonan itu atas alasan ia bersifat pramatang kerana alasan penghakiman penuh masih belum dilengkapkan oleh panel terdahulu.
Hakim Che Mohd. Ruzima bagaimanapun berpendirian, alasan penghakiman penuh tidak perlu dalam prosiding semakan kerana panel bersidang tidak boleh mengkaji semula (revisit) keputusan mahkamah terdahulu yang mendengar rayuan Peter.
Beliau menjelaskan, panel hakim hanya boleh menyemak keputusan terdahulu jika berlaku perlanggaran prosedur dalam keputusan yang dicapainya.
Bagaimanapun, Wan Shaharuddin menyatakan, alasan penghakiman ringkas yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak mengandungi butiran tertentu yang akan dihujahkan dalam permohonan semakan kelak.
Pada prosiding sama, Rosal Azimin turut memaklumkan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan alasan penghakiman penuh, namun ia masih belum siap.
Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Pemohon kemudiannya telah merayu keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi dan ditolak pada 18 April 2023. Tidak berpuas hati terhadap keputusan itu, Peter selanjutnya merayu ke Mahkamah Rayuan dan ia juga ditolak pada 4 Mac lalu.
Peter kemudian mengambil usaha terakhir dengan memfailkan permohonan semakan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang menolak rayuannya. – MalaysiaGazette