Team Amal Kazuko turun ke perkampungan Orang Asli Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.
Team Amal Kazuko turun ke perkampungan Orang Asli Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.

KUALA LUMPUR – Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM) Team Amal Kazuko terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan masyarakat apabila menganjurkan Program Pos Lenjang 3.0.

Ia satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei lalu di perkampungan Orang Asli Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.

Program anjuran CDERT-APM di bawah APM Wilayah Persekutuan ini melibatkan lebih 60 anggota yang berganding bahu menyampaikan bantuan kepada lebih 200 penduduk Orang Asli, termasuk agihan barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, biskut dan roti sebagai usaha meringankan beban komuniti berkenaan.

Program Pos Lenjang 3.0
Program Pos Lenjang 3.0

Menurut Penyelaras Program, Datuk Seri Noorha Wisma Hisham Abdul Wahab, pihaknya turut menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM50 kepada setiap keluarga serta bantuan tunai RM5 kepada setiap kanak-kanak sebagai simbol keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan bersifat material, malah ia juga mencerminkan aspirasi Kerajaan Madani yang menitikberatkan nilai kebajikan, inklusiviti dan kesejahteraan semua lapisan rakyat,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Effendy Ali yang menjadi penaung utama program tersebut.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti bermanfaat telah dijalankan termasuk ziarah mahabbah, gotong-royong membersihkan kawasan surau dan memasak secara beramai-ramai, selain pengenalan kepada kesenian Islam serta sesi motivasi umum yang dikendalikan oleh Kapten Syazwan Jaafar.

Usaha itu bertujuan mempererat hubungan antara pasukan APM dan masyarakat Orang Asli serta menyuntik elemen pembangunan sahsiah dan spiritual dalam kehidupan seharian mereka.

Program tersebut turut mendapat sokongan padu daripada barisan pimpinan tertinggi APM yang hadir memeriahkan suasana antaranya Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM, Dr. Mohamad Fazli Sardi, Pengarah APM Negeri Kelantan, Kol. (PA) Mohd Adzhar Mujab.

Program Pos Lenjang 3.0 ini menjadi bukti nyata bagaimana semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan dapat diterjemahkan melalui tindakan, sekaligus menyemarakkan semangat perpaduan antara agensi kerajaan dan komuniti luar bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here