P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – Kesediaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berdebat dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mungkin merupakan satu kesilapan dan diibaratkan seperti menyalak pada pokok yang salah.

Bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy berkata, walaupun Nurul Izzah kononnya anak didik Rafizi dan menerima sokongan tidak langsung daripadanya, beliau tetap muncul sebagai calon pilihan utama dalam pemilihan parti PKR yang akan datang.

Jelasnya, populariti Nurul Izzah berpunca daripada imej jangka panjangnya sebagai `Puteri Reformasi’ serta statusnya sebagai anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memberinya kelebihan yang sukar ditandingi.

Dakwa beliau, walaupun Nurul Izzah bukan tandingan Rafizi di pentas debat namun nepotisme telah membawa Nurul Izzah lebih jauh, meski pun tidak akan melindunginya di pentas debat.

Sehubungan itu, katanya, berbanding mengemukakan cabaran debat secara terbuka yang berisiko memalukan rakan seperjuangan adalah lebih baik sekiranya Rafizi menganjurkan bengkel politik dalaman atau sesi bimbingan.

“Jika benar Nurul Izzah ingin memimpin, beliau mesti bersedia keluar daripada kepompong perlindungan pengaruh bapanya dan membuktikan kemampuan dirinya secara merit.

“Sebaliknya, jika Nurul benar-benar serius mahu bertanding jawatan kepimpinan parti, beliau perlu terlebih dahulu menangani persepsi nepotisme yang masih berlegar.

“Menerima cabaran Rafizi adalah langkah awal yang bermakna, satu isyarat kepada parti dan rakyat bahawa beliau bersedia dinilai atas kapasiti sendiri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Pengerusi Penaja Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, Rafizi juga harus menilai kembali apa yang telah dicapai oleh PKR sejak Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2022.

Dakwanya, agenda reformasi yang dicanang selama ini semakin pudar dan tidak relevan, menyebabkan rakyat kian kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) yang kini dilihat mengulangi gaya politik lama yang berteraskan kepentingan sendiri.

“Cabar-mencabar debat oleh Rafizi walau mungkin berniat baik, akhirnya mungkin hanya mengalihkan tumpuan daripada isu-isu yang lebih mendesak.

“Lebih buruk lagi ia mungkin hanya menambah kredibiliti palsu kepada parti yang kian terpisah daripada keresahan sebenar rakyat,” katanya.

Rafizi sebelum ini dilaporkan bersedia berdebat Nurul Izzah dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR hujung bulan ini bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong mereka ketika ini.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan keutamaan beliau ketika ini bukan kepada aktiviti yang boleh memburukkan lagi pertikaian dalaman PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here