Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghafour (kiri) bercakap ketika hadir pada sesi pebentangan berkaitan dengan Perkembangan Ekonomi & Kewangan pada S1 2025 di Sasana Kijang,Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 16 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini didorong terutamanya oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang stabil.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah kekal mampan pada suku itu berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan termasuk semakan menaik terhadap gaji minimum dan gaji penjawat awam.

Menurut beliau, pengembangan aktiviti pelaburan adalah stabil disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan yang sedia ada.

“Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport perlombongan yang lebih rendah.

“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan
elektronik (E&E) yang lebih kukuh berikutan aktiviti eksport yang dipercepat dan aktiviti pelancongan yang terus meningkat.

“Pada masa sama, pertumbuhan import, meskipun lebih sederhana, terus didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal mencerminkan aktiviti pelaburan dan perdagangan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed menambah, daripada segi penawaran, pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan
perkilangan.

Jelas beliau, sektor perkhidmatan disokong oleh perkhidmatan kerajaan yang lebih tinggi manakala pengeluaran E&E menyokong prestasi sektor perkilangan.

Bagaimanapun menurutnya, penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor yang kembali menurun selepas prestasi yang kukuh sepanjang tiga tahun yang lalu masing-masing memberikan kesan terhadap pertumbuhan sektor perkhidmatan dan perkilangan.

“Secara keseluruhan, pertumbuhan turut terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah.

“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.7 peratus.

“Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5 peratus pada suku pertama tahun 2025 di mana sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi utiliti yang lebih rendah pada 3.0 peratus.

“Keadaan ini susulan luputnya kesan daripada pelarasan tarif air terdahulu dan caj elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dengan penggunaan yang tinggi pada suku pertama 2024.

“Inflasi dalam perkhidmatan komunikasi mudah alih terus menurun, berpurata pada -13.5 peratus.

“Bagaimanapun, inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9 peratus yang didorong terutamanya oleh inflasi sewa yang meningkat kepada 2.1 peratus,” katanya.

Shaik Abdul Rasheed memberitahu, rebakan inflasi yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan harga bulanan, mengalami kenaikan berikutan pelarasan harga yang lazimnya dilakukan pada awal tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here