Enam termasuk seorang remaja bawah umur didakwa atas kesalahan melakukan jenayah dalam talian di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Enam individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat melakukan jenayah penipuan dalam talian pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Cham Chew Lian,22; Leong Wei Yao,28; Ang Meng Foo, 25; remaja perempuan berusia 17 tahun serta wanita warga Kemboja, Reasmeykakada, 22, dan lelaki warga China, Deng Fei, 38; mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka dihadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah melakukan pakat jenayah berhubung penipuan dalam talian di sebuah kondominium Residensi Sky di Alma di sini pukul 5 petang pada 13 Mei lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli memohon hukuman setimpal kepada kesemua tertuduh atas kesalahan yang dilakukan mereka.

Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi dan Husna Ridzuan  meminta denda minima dikenakan memandangkan kesalahan itu adalah kali pertama dilakukan kesemua tertuduh selain kebanyakan mereka tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM8,000 terhadap lima tertuduh dan sekiranya gagal membayar akan dipenjara selama enam bulan.

Manakala remaja perempuan bawah umur pula, dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) yang akan dituduh semula mengikut undang-undang kanak-kanak.

Media pada Rabu lalu melaporkan satu sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan hadiah palsu melalui aplikasi Telegram berjaya ditumpaskan oleh polis dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Alma di sini.

Operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Pulau Pinang itu membawa kepada penahanan enam suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.

Sindiket ini dikesan menggunakan kumpulan dikenali sebagai ‘Malay Telegroup 875’ untuk mengumpul maklumat mangsa, sebelum menghubungi mangsa untuk menawarkan hadiah dan seterusnya meminta bayaran sebagai syarat penebusan hadiah tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here