KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini membuat laporan polis terhadap pemberita maklumat dikenali Mr X kerana didakwa memfitnah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kelulusan lesen mineral di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kenyataan berbaur fitnah Mr X dibuat ketika ditemu bual peguam, Datuk Zaid Ibrahim dalam program podcast menerusi saluran YouTube ‘F8Buzz’, pada 15 Mei lalu.
Beliau berkata, ketika rakaman podcast itu dibuat, Mr X yang dikaburkan wajahnya mendakwa, Hajiji menyalahgunakan SMM yang digelar sebagai ‘Small 1MDB’ untuk mencari duit haram bagi kegunaan peribadi.
“Ini jelas tuduhan fitnah jahat kononnya Hajiji telah memberikan lesen kepada beberapa orang wakil rakyat, kemudian mengarahkan mereka mencairkan wang selepas menyokong kepimpinan Hajiji mengeluarkan lesen mineral.
“Kenyataan fitnah pemberi maklumat pada minit 34.38 ini kononnya lesen mineral telah dikeluarkan Ketua Menteri Sabah sedangkan ia belum dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.
Menerusi temu bual itu, Mr X merupakan seorang ahli perniagaan dalam industri mineral yang menjalankan aktiviti kuari secara kecil-kecilan termasuk perlombongan bijih timah dan pasir di Semenanjung Malaysia dan beroperasi sejak lapan tahun lalu.
Mr X juga mengakui beliau sedang mencari lesen cari gali mineral di Sabah bersama rakan kongsi lain daripada syarikat awam tersenarai di China, Singapura, Indonesia dan Malaysia sejak 2021, iaitu selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).
Zulkarnain mendakwa, pada minit ke 19.51, Mr X secara jelas menuduh Hajiji memberikan lesen-lesen cari gali mineral di Sabah kepada wakil rakyat yang menyokongnya sebelum ‘dicairkan’ kepada ahli perniagaan untuk mendapatkan wang. – MalaysiaGazette